ANDREZINHO (kanan) memberi tunjuk ajar kepada Hizaz, Radzee dan Enel sambil diperhatikan Mohd Noor (dua dari kiri).

Kota Kinabalu: Jurulatih penjaga gol Sabah, Mohd Noor Abdullah berpendapat pemain remaja berbakat negeri itu wajar terus digilap dan diberi pendedahan seluas-luasnya bagi membolehkan mereka meningkatkan kualiti permainan dalam bola sepak.

Katanya, pada masa sama, Persatuan Bola sepak Sabah (Sabah FA) juga perlu mengenal pasti pemain berbakat ini supaya mereka mendapat latihan sempurna.

“Kita mendapati ramai bakat baru dan mereka memerlukan bimbingan untuk mengembangkan bakat sedia ada,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad Sabah 2015 di padang Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.

Mohd Noor yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Coach Francis’ adalah jurulatih penjaga gol musim 2014-2015.

Beliau bersama pemain import Sabah dari Brazil, Andrezinho Esposito meluangkan masa untuk menunjuk ajar tiga pemain remaja Sabah, Mohd Hizaz Lokman, 14, Radzee S.A Ramli, 13, dan Enel Tan, 13, teknik dan taktik permainan bola sepak.

Hizaz dan Radzee pelajar SMK Mutiara Impian, Sekolah Sukan Negeri (SSN) Pulau Pinang manakala Enel Tan adalah rakan mereka dalam pasukan TABS Safa Bandaraya yang mendapat tawaran menyertai Akademi Bolasepak Wolfsberg bawah 15 tahun, sebuah kelab divisyen satu Jerman.

Hizaz dan Radzee anggota pasukan bawah 14 SSN Pulau Pinang yang menjuarai Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2014, naib juara Piala KPM dan naib juara Piala Sumbangsih.

Mereka pulang ke Sabah sempena cuti persekolahan dan meneruskan latihan pada cuti sekolah bersama TABS Safa Bandaraya di bawah kendalian ketua jurulatih, Matasan Ahmad.

Mohd Noor berkata, bakat baru berpotensi perlu mendapat latihan dan bimbingan berterusan kerana mereka ini aset Sabah FA pada masa hadapan.

“Saya dapati tiga pemain remaja ini cukup berbakat dan memiliki ciri-ciri untuk pergi lebih jauh.

“Sebagai bukti kelab utama di Jerman boleh nampak bakat pemain ini. Kita patut lebih dahulu menyedari pemain remaja berbakat dan meletakkan mereka di bawah jurulatih berpengalaman,” katanya yang sudah memaklumkan mengenai pemain itu kepada pegawai atasan Sabah FA untuk diberi perhatian selanjutnya.

Sementara itu, pemain import dari Brazil, Andrezinho berkata, pemain remaja terbabit boleh terus meningkatkan kualiti permainan memandangkan mereka sudah mempunyai kemahiran.

“Mereka perlukan bimbingan jurulatih supaya boleh bermain dengan bagus dan memahami permainan bola sepak secara profesional”, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 7:18 AM