Banduan yang melarikan diri semalam ditahan semula. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Banduan yang melarikan diri semalam ditahan semula. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Banduan reman yang melarikan diri daripada jagaan anggota Penjara Sungai Udang ketika menjalani pemeriksaan mental di Hospital Melaka semalam, ditahan semula selepas 13 jam melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, banduan berusia 26 tahun itu ditemui di tepi bangunan tinggal di Bukit Palah, di sini, kira-kira enam kilometer dari lokasi dia dilapor hilang.

"Suspek ditemui di tepi bangunan tinggal dengan berpakaian awam, manakala baju banduan yang dipakai ketika dilapor hilang, sudah ditemui.

"Tangkapan dibuat pada 12.30 tengah malam oleh polis, jabatan penjara dan orang awam," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, suspek yang direman penjara bagi kesalahan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, kini berada dalam tahanan polis dan akan didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan, kerana lari daripada tahanan yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 2:06 PM