Aizat Sharif


Sungai Petani: Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini mengarahkan hak penjagaan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang juga mangsa dera teman lelaki ibunya di Flat Paya Nahu, Sungai Petani pada November tahun lalu diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah selama tiga tahun.

Majistret Adibah Husna Zainal Abidin membuat keputusan itu selepas tempoh jagaan sementara kanak-kanak terbabit tamat pada hari ini.

Kanak-kanak itu sebelum ini ditempatkan di bawah jagaan sementara JKM mengikut Peruntukan Seksyen 19 Akta Kanak-Kanak 2001 di Rumah Kebajikan Taman Sinar Harapan, Jitra dan akan dipindahkan ke Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Taman Bakti di Kepala Batas, Pulau Pinang berkuatkuasa pada hari ini.

Kanak-kanak berkenaan yang berpakaian merah jambu tiba di kawasan kompleks mahkamah dengan menaiki sebuah van JKM pada jam 10 pagi sambil diiringi oleh seorang Pegawai Perlindungan Kanak-Kanak JKM Kedah.

Malah, kanak-kanak itu juga dilihat memeluk erat neneknya yang setia menunggu ketibaannya di kawasan mahkamah berkenaan sejak awal pagi lagi.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut, manakala kakaknya yang berusia empat tahun parah akibat dipukul teman lelaki ibu mereka pada 24 November tahun lalu.

Kanak-kanak lelaki terbabit disahkan meninggal dunia sejak 9 November sebelum itu dengan mayatnya yang sudah reput disembunyikan suspek dalam tong ikan di dalam sebuah bilik di Flat Paya Nahu.

Susulan kejadian itu, teman lelaki ibu kepada kanak-kanak itu ditahan dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 3:04 PM
Kakitangan JKM (tengah) mengiringi kanak-kanak perempuan mangsa dera teman lelaki ibunya di Flat Paya Nahu selepas JKM Kedah mendapat perintah jagaan oleh Mahkamah Majistret selama tiga tahun berkuatkuasa hari ini. FOTO SHharul Hafiz Zam
Kakitangan JKM (tengah) mengiringi kanak-kanak perempuan mangsa dera teman lelaki ibunya di Flat Paya Nahu selepas JKM Kedah mendapat perintah jagaan oleh Mahkamah Majistret selama tiga tahun berkuatkuasa hari ini. FOTO SHharul Hafiz Zam