NAJIB bersalam dengan orang ramai ketika hadir ke majlis Pesta Ponggal Kebangsaan MIC. FOTO Rosdan Wahid
Fuad Hadinata Yaacob

my

Shah Alam: Datuk Seri Najib Razak menyatakan kerajaan pimpinannya sentiasa menunaikan janji dalam usaha membangunkan semua kaum di negara ini termasuk masyarakat India.

Beliau berkata, kerajaan bukan sekadar berjanji tetapi mampu menunaikannya.

"Kita tidak bermain politik ucapan saja sebaliknya kita laksanakan sesuatu dan boleh buat perubahan kepada kaum India.

"Kita tidak hanya sekadar membuat janji tetapi melaksanakannya," katanya ketika berucap pada Pesta Ponggal Peringkat Kebangsaan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), malam tadi.

Hadir sama Pengerusi Penganjur yang juga Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk SA Vigneswaran; Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam serta Pengerusi Barisan Nasional Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus membantu kaum India di negara ini dengan mengadakan pelbagai program serta meneruskan dasar bersesuaian untuk kaum itu.

Najib berkata, sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau sedar jika kerajaan tidak melakukan sesuatu kepada masyarakat India di negara ini, kaum itu akan terus ketinggalan dan berdepan dengan masalah sosioekonomi.

"Sebab itu saya tampil mempengerusikan jawatankuasa Kabinet mengenai hal ehwal kaum India.

"Hasilnya, saya luluskan peruntukan untuk pembangunan sekolah jenis kebangsan Tamil (SJKT).

"Pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) turut diberikan kepada kaum India," katanya.

Dalam bidang pendidikan katanya, kerajaan membuka program Matrikulasi kepada pelajar kaum India dengan jumlah 1,500 orang setahun selain kemasukan ke politeknik yang semakin meningkat.

"Selain itu 350,000 masyarakat India sudah mendapat bantuan keusahawanan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga akan melancarkan Pelan Tindakan Untuk Kaum India tidak lama lagi bersama jenteranya.

Dalam pada itu beliau mengingatkan kepada pemimpin termasuk MIC supaya terus berkhidmat kepada rakyat yang mempunyai kuasa mutlak.

Katanya, sebagai pemimpin seseorang itu tidak boleh hanya mempertahankan kedudukannya dalam parti saja kerana parti tidak mempunyai kuasa sebaliknya kuasa itu datang daripada rakyat.

"Kuasa parti adalah ketika pemilihan parti tetapi kuasa mutlak rakyat ketika pilihan raya.

"Kita mestilah rendah diri dan tahu bila mahu dekatkan diri dengan rakyat.

"Jika kita bantu mereka terutama yang dalam kesusahan, mereka akan kenang kita," katanya.

FOTO Rosdan Wahid dan Muhammad Sulaiman

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 12:22 AM