KABANANGA (kanan) menjaringkan gol pertama Congo ketika menyingkirkan Togo.
Reuters

Port Gentil: Republik Demokratik Congo dan Maghribi melangkah ke suku akhir Piala Negara Afrika selepas melakar kejutan di peringkat Kumpulan C.

Congo menamatkan saingan di kedudukan teratas apabila mengalahkan Togo 3-1 di Port Gentil manakala Maghribi menyingkirkan juara bertahan Ivory Coast 1-0 di Oyem.

Keputusan diterima Ivory Coast itu menambah kejutan selepas tuan rumah Gabon serta Algeria tersingkir awal sebelum ini dan Togo menamatkan saingan di kedudukan terbawah Kumpulan C.

Ivory Coast sekadar mengumpul dua mata dengan pemain veteran Salomon Kalou pantas mengumumkan persaraannya di peringkat antarabangsa manakala jurulatih Michel Dussuyer mengaku masa depannya kini semakin suram.

“Buat masa ini, saya sangat kecewa kerana kami gagal mencapai objektif di kejohanan ini. Hasrat kami ialah untuk melepasi peringkat kumpulan sekali gus mempertahankan kejuaraan. Malam ini pasti sukar buat kami,” katanya.

Rachid Alioui menjaringkan gol tunggal perlawanan dari jarak 35 meter untuk memastikan kemaraan Maghribi yang dikendalikan jurulatih Herve Renard - pengendali yang membawa Ivory Coast selaku juara dua tahun lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu yang mewakili kelab Nimes di Perancis, sempat memerhatikan ke arah gawang lawan sebelum membuat rembatan lencong yang menuju tepat ke penjuru kanan Ivory Coast.

Maghribi akan menentang juara Kumpulan D di suku akhir.

Junior Kabananga menjaringkan gol ketiganya di kejohanan ini bagi membolehkan Congo mendahului di babak pertama sebelum menambah dua lagi jaringan menerusi Ndombe Mubele dan Paul-Jose Mpoku sambil Kodjo Laba menghasilkan gol sagu hati Togo.

Kabananga kini melakar nama sebagai penjaring dalam semua perlawanan Kumpulan C dan jaringannya ke atas Togo berlaku selepas menerima hantaran pemain Newcastle United Chancel Mbemba.

Kegagalan Togo untuk layak adalah yang kedua sepanjang lapan kejohanan sekali gus membuatkan jurulatih Claude Le Roy gagal buat pertama kali membawa pasukannya ke suku akhir.

Ia juga aksi antarabangsa terakhir buat Emmanuel Adebayor selepas cubaannya untuk menghasilkan gol di minit akhir perlawanan, dinafikan pertahanan Merveille Bope.

“Saya akan memikirkan sama ada saya akan terus bermain tetapi buat masa ini, saya merasakan diri seperti kapten kapal yang gagal,” kata Adebayor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 9:28 AM