Hazril Md Nor


Permainan video sentiasa berevolusi setiap tahun. Resident Evil (RE) antara francais yang kerap kali menempuh fasa itu.

Selepas kegagalan RE 6 menyinar dalam kalangan peminat yang dahagakan elemen seram, nampaknya Capcom terpaksa menggunakan formula berbeza untuk judul ketujuh bagi menyelamatkan francais yang hampir ‘lenyap’ ini.

Berita baiknya, selepas sembilan jam menyelami ketakutan sebagai protagonis Ethan Winters, penulis akui judul ketujuh memberikan nafas baru dan hala tuju yang betul bagi syarikat gergasi ini.

Resident Evil 7: Biohazard yang baru dikeluarkan Selasa lalu di Playstation 4, Xbox dan PC bukan saja seram, malah formula digunakan cukup sempurna untuk menakutkan penulis dari sudut perspektif pemain tunggal.

Misteri kehilangan Mia

Capcom lebih bijak dengan menyamakan judul ketujuh dengan yang asal. Penulis dikehendaki mencari isteri Ethan yang dikatakan hilang di Louisiana. Persamaan di sini ialah siasatan dilakukan dalam satu lokasi tertutup namun dalam permainan ini, penulis meneroka rumah usang yang agak besar.

Mendapat e-mel daripada Mia Winters, penulis terus membuat pencarian itu namun tidak menyedari kawasan terpencil itu tempat tinggal keluarga ‘mutan’ iaitu The Bakers.

Dua puluh minit pertama sudah cukup mencabar keberanian penulis apabila Mia dijumpai dan kemudian seolah-olah dirasuk oleh entiti asing. Unsur keganasan di sini jelas terlihat apabila tangan Ethan dipotong gergaji jadi tidak hairanlah ia mendapat pengiktirafan had umur 18 dan ke atas.

Plot seterusnya membawa penulis menemui keluarga The Bakers di ruang makan dan perlu mencari jalan keluar yang hanya dibantu oleh Zoe Baker melalui komunikasi ringkas di gagang telefon.

Mekanisme sorok dan lawan

Tidak seperti Outlast yang membuatkan protagonisnya lemah tak berdaya, RE kekal dengan formula asal namun tiada ‘perang’ senjata dilaporkan. Penulis boleh menembak dengan pistol dan senapang patah yang sangat terhad pelurunya. Herba hijau juga buat kemunculan semula begitu juga tempat ‘save’ dan stor penyimpanan barang.

Dalam judul ini, kecerdasan artifisial (AI) sangat jelas kemajuannya dipamerkan dalam gerakan Jack Baker. Dia bukan saja kerap mengejar dan muncul dari sudut rawak seperti Nemesis tapi lebih menakutkan kerana mampu memulihkan selnya dengan kuasa ditawarkan anak perempuannya.

Bagaimanapun, Jack ada kelemahan yang nyata. Hayunan senjatanya boleh dielak, diramal dan dihalang menggunakan tangan. Dengan hanya berbekalkan pisau, dia sebenarnya mampu ‘ditewaskan’ sebentar sebelum badannya hilang dan kemudian muncul kembali tanpa kecederaan serius.

Namun, RE 7 bijak merencanakan elemen kejutan kepada penulis kerana perlu sentiasa menutup pintu, memerhati arah belakang dan berjalan perlahan. Ini kerana bukan saja Jack malah makhluk ‘mutan’ lain di lokasi bawah tanah yang muncul secara tiba-tiba.

Dalam tempoh sembilan jam itu, makhluk dinamakan ‘Molded’ itu kadangkala hadir dalam kelompok dan memaksa penulis menggunakan senapang patah untuk mematikan langkah mereka. Namun, mereka ditewaskan dengan mudah apabila penulis menggabungkan ‘gun powder’ dengan ‘chem fluids’ yang lebih berkuasa.

Perlawanan mendebarkan

Dari keluaran pertama sehingga ketujuh, perlawanan ketua antara kenangan yang agak mudah dilupakan. Pertembungan antara Jack di satu tempat tiada jalan keluar tidaklah sukar malah disertai gelak tawa.

Ini kerana Jack dengan perangainya yang gila agak mudah diramal dan diumpan untuk serangan di kepala. Itu kelemahannya. Perlawanan di garaj sangat mudah dengan mencuri kunci kereta dan melanggarnya berulang kali. Tetapi, ini mungkin kerana penulis bermain di bawah mod ‘easy’.

Kesimpulannya, tanpa mendedahkan terlalu banyak ‘spoiler’ mengenai plot dan keluarga Bakers yang lain, penulis rasakan Capcom melakukan perubahan yang tepat dan pastinya peminat veteran di luar sana berpuas hati dengan hala tuju francais ini.

Sudah hilang elemen aksi dan karakter ikonik namun digantikan dengan formula asal iaitu seram, teka teki dan sudut ‘first-person’ yang membawa ketakutan anda ke tahap lebih tinggi. Ia berbaloi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 9:53 AM