Georgie Joseph


Annyeonghaseyo! Kadang-kadang peminat fanatik artis Korea Selatan sangat suka bertindak secara melulu.

Walaupun hanya perkara kecil, ia tetap salah di mata mereka selain suka mengecam individu yang tidak bersalah.

Itulah yang berlaku kepada rakan anggota EXO-L, Sehun iaitu Jeong Da Rae selepas tiba-tiba diserang di akaun Instagram baru-baru ini.

Terdahulu, wanita itu yang juga jurulatih renang memuat naik foto sesi latihannya bersama Sehun.

Dalam foto berkenaan, dia turut meletakkan nama anggota EXO-L itu dengan kapsyen mengatakan latihan berlangsung selama tiga jam.

Bagaimanapun, dalam foto itu hanya kelihatan kolam renang tertutup dan hanya ada seorang saja perenang.

Sebaik dimuat naik, ruangan komennya serta-merta dibanjiri dengan komen berbaur ugutan apabila rata-rata mengatakan wanita itu cuba mengambil kesempatan.

Malah, mereka turut mempersoalkan apa kelayakan dia untuk mendampingi Sehun.

Tidak mahu berdiam diri, Da Rae kemudian meninggalkan komen penjelasan kepada peminat yang sedang marah itu.

“Tolong bertenang, saya cuma melatih Sehun dan beberapa rakannya untuk berenang. Kami juga memang sudah lama bersahabat baik, jadi jangan bimbang,” katanya.

Disebabkan situasi itu yang tiba-tiba menjadi panas, anggota EXO-L mengambil serius perkara berkenaan.

Mereka sangat bimbang rakan Sehun itu diserang hanya kerana foto yang tidak bermaksud apa-apa itu.

Lantas, mereka turut mempertahankan wanita berkenaan daripada terus diserang peminat yang jelas tidak berfikiran matang.

Namun, ada antara peminat yang nampaknya tidak mahu mengeruhkan keadaan dan berusaha menenangkan rakan terbabit.

“Terima kasih banyak kerana mengajar Sehun berenang. Jangan bimbang dengan komen-komen jahat itu. Kalau anda terluka kerana mereka, saya mahu meminta maaf bagi pihak peminat.

“Cuaca sangat sejuk sekarang, jaga diri baik-baik. Saya akan bersorak untuk anda,” kata seorang peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 9:59 AM