Keadaan banjir di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang yang masih belum surut pagi ini. FOTO Ramli Ibrahim.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Penduduk daerah ini dinasihatkan berpindah ke kawasan yang lebih selamat berbanding puncak bukit untuk berlindung daripada banjir.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, kawasan selamat itu termasuklah dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka ketika ini.

"Kita tak menghalang jika ada penduduk yang cemas, memilih langkah terakhir iaitu berlindung di puncak bukit, sebaik melihat kawasan kediaman dinaiki air.

"Tapi saya menasihati mereka supaya patuh arahan dan berpindah ke PPS dan kawasan selamat lain kerana kita bimbang jika bukit diduduki berlaku hakisan dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini.

"Lagipun pasukan penyelamat sentiasa sedia membantu mereka berpindah," katanya di sini, hari ini.

Semalam, terdapat 10 keluarga berpindah ke puncak bukit selepas kediaman mereka di Kampung Limau Kasturi dan Kampung Lebir dinaiki air.

Sehingga 10 pagi ini, dua PPS dibuka untuk menampung penduduk kampung berkenaan iaitu di SK Limau Kasturi 2 yang menempatkan 122 mangsa dan SK Lebir, 28 mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 12:30 PM