Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Seorang pembantu rumah warga Indonesia ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan penemuan mayat majikannya di dalam rumah beralamat di Jalan Suria 2, Taman Suria dekat Majidee, petang semalam.

Wanita berusia 30 tahun yang berasal dari Batam itu bekerja di rumah mangsa sejak lapan hari lalu terdahulu ditemui berlumuran darah di tepi jalan di Jalan Suria 14 di sini, kira-kira satu kilometer dari rumah majikannya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, suspek ditemui orang awam kira-kira 2 petang sebelum menghubungi polis dan selepas soal siasat dibuat, polis menyerbu rumah mangsa sebelum menemui mayat wanita berusia 59 tahun di dalam bilik tidur utama di tingkat atas rumah berkenaan.

"Ketika soal siasat, suspek memberi pelbagai dakwaan termasuk kononnya diserang dan dirogol majikan, namun selepas hasil pemeriksaan dibuat terhadapnya, kita menemui pelbagai barangan milik mangsa termasuk rantai emas, beg, komputer riba, beg duit, telefon bimbit serta kad pengenalan mangsa.

"Penemuan barangan milik mangsa itu membawa kepada pemeriksaan lanjut di rumah mangsa sebelum menemui mayatnya," katanya.

Beliau berkata, terdapat satu pisau pemotong sayur berukuran 22.86 cm yang turut ditemui masih tertusuk di perut kanan mangsa.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk bedah siasat, manakala suspek yang turut cedera di kepala dan pipi masih berada di HSA untuk rawatan.

Menurut Sulaiman, punca kejadian dipercayai akibat ketidakpuasan hati suspek ketika bekerja dengan majikan sehingga berlaku pertengkaran yang kemudian membawa kepada pergelutan sebelum berlakunya pembunuhan itu.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pix Hairul Anuar Abd Rahim

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 4:13 PM