PEMENTASAN menampilkan barisan pelakon yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.
PEMENTASAN yang berkisarkan pengorbanan dan cinta itu menampilkan dua watak utama iaitu Jomana Helana Sawires) dan Rami (Osamah Rami).

Lakon pentas yang berkesan bukan sekadar menghiburkan malah berupaya menyampaikan mesej tersirat secara tidak langsung menyentuh jiwa penonton.

Itu yang dirasai penulis ketika menghayati karya seni dari Australia bertajuk Tales of a City by the Sea berkisarkan pengorbanan dan cinta bertempat di Ku Ash Theatre, Pusat Kreatif Kanak-kanak Tunku Bainun di Jalan Tun Mohd Fuad, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Menariknya hasil nukilan penulis berbangsa Palestin-Australia-Kanada, Samah Sabawi itu menceritakan kisah hidup rakyat biasa terpaksa bergelut dengan harapan dan cinta di bumi Palestin yang musnah akibat peperangan serta keganasan.

Fokus utama penceritaan memaparkan kisah Jomana lakonan Helana Sawires iaitu wanita Palestin yang menetap di kem pelarian pantai di Gaza jatuh hati kepada doktor perubatan berbangsa Palestin kelahiran Amerika Syarikat bernama Rami.

Rami lakonan Osamah Sami adalah aktivis kemanusiaan yang menjejakkan kaki di bumi bergolak itu melalui bot ‘Free Gaza’ pada Ogos 2008.

Kisah cinta mereka dihujani pelbagai rintangan dan dugaan antaranya ancaman tentera Israel di Gaza pada musim sejuk tahun 2008.

Dalam kisah itu juga Rami tersepit kerana terpaksa mengambil keputusan besar sama ada pulang ke Texas atau terus menetap di Palestin.

Lebih membanggakan, dua pelakon teater Malaysia turut menjadi tulang belakang dalam pementasan itu iaitu Raja Emina Ashman yang membawa watak sebagai Lama dan Tria Aziz memegang watak ‘Spirit of Gaza’ serta menyanyi dalam bahasa Arab. Pementasan itu disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Turut hadir Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan Raja Permaisuri Tuanku Bainun.

Pementasan itu juga membuka tirai siri jelajah dunia dengan mengadakan pementasan pertama di negara ini pada 13 hingga 18 Januari lalu.

Secara tersurat kisah cinta itu membawa penonton mendalami hubungan antara masyarakat tempatan bersama orang tersayang di kampung yang dilanda konflik peperangan dan penaklukan Israel.

Menurut Samah, beliau menulis kebanyakan puisi dalam pementasan berkenaan ketika pengeboman Gaza sekitar tahun 2008 dan tahun 2009.

“Pementasan ini mengupas isu sosial, politik dan fizikal sementara subjek utama yang ditonjolkan adalah rintangan hidup dihadapi rakyat Palestin akibat dikepung tentera Israel.

“Sepanjang penghasilan pementasan di Australia, kami menyelesaikan beberapa halangan termasuk memisahkan jurang budaya dan kaum antara ahli produksi.

“Sebagai anak Palestin yang belajar bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di sekolah, saya teruja kerana pementasan ini dipertontonkan di banyak sekolah sekitar Australia,” katanya.

Tales of a City by the Sea pernah ditayangkan serentak di Panggung La Mama Melbourne dan Al Rowwad Palestin tahun 2014.

Pada tahun lalu, pementasan itu tercalon bagi Victorian Certificate of Education (VCE) Drama Playlist dan ditayang semula di Panggung La Mama Melbourne untuk musim yang panjang.

Kemudian ia memulakan jelajah di peringkat nasional yang pertama di Adelaide’s Bakehouse Theatre and Sydney’s Casula Powerhouse Arts Centre serta mendapat hasil kutipan pecah panggung.

Pementasan itu turut memenangi dua anugerah Drama Victoria bagi Penerbitan Baru Australia Terbaik dan Persembahan Terbaik dari Syarikat Teater untuk VCE. - Nor Hanisah Kamaruzaman

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2017 @ 5:01 AM