YOKE You (empat dari kanan) bersama ahli pasukan meraikan Tahun Baru Cina di Bengkel YY PANG, Shah Alam.

Shah Alam: Pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang ingin mengembalikan reputasi mereka pada musim baru Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.

Sekadar menamatkan saingan di tempat kelima keseluruhan tahun lalu, pemilik pasukan Pang Yoke You berharap barisan pelumbanya dapat memperbaiki prestasi mereka tahun ini.

Keyakinan Yoke You itu adalah kerana musim ini saingan kembali terbuka buat semua pasukan apabila kategori paling tinggi CP130 ditukar kepada kategori baru CP150.

“Sasaran kami adalah mahu mendapat keputusan lebih baik berbanding tahun lalu.

“Apapun, sukar untuk mengatakan peluang setiap pasukan kerana pengenalan kategori baru ini, kami memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan jentera,” katanya.

Untuk musim baru, YY Pang terus memberi kepercayaan kepada tiga muka lama iaitu Mohd Adib Rosley, Izzat Zaidi Salehan dan Azhar Abdul Jalil untuk mengibarkan cabaran dalam saingan CP150.

Mohd Fareez Afeez, Tengku Amirul Haffirudin dan Mohd Idil Fitri Mahadi pula akan beraksi dalam kategori CP115.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2017 @ 5:10 AM