NAZMIZAN kesal atlet olahraga tidak diberi pendedahan di luar negara.
NAZMIZAN kesal atlet olahraga tidak diberi pendedahan di luar negara.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tidak pasti sama ada strategi atau sebaliknya, barisan atlet pecut olahraga negara terus ‘diperam’ Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Ketika hasrat untuk ke Amerika Syarikat ditolak, perancangan ke Australia pula belum menemui kata putus.

Hingga kini belum ada sebarang perancangan buat barisan atlet pecut negara kerana KOM masih memperhalusi program latihan dan pertandingan di negara Kangaru itu.

Perkara itu menimbulkan persoalan kepada pemenang emas acara riben biru di Sukan SEA Vietnam 2003, Nazmizan Muhammad serta jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim.

Nazmizan berkata, seharusnya perancangan sudah lama diatur buat atlet dengan ketika ini sudah berlatih di luar negara.

“Saya rasa kecewa kerana kita mempunyai ramai atlet berbakat tapi tidak dihantar ke luar negara untuk pendedahan.

“Sepatutnya mereka sudah berada mendapat pendedahan di peringkat tertinggi dengan menyertai banyak kejohanan,” katanya.

Mengambil contoh Watson Nyambek, Nazmizan berkata, selepas pelari itu merekodkan 10.30 saat, catatan itu gagal diperbaiki kerana tidak mempunyai motivasi.

“Saya pasti jika Watson diberi peluang ke luar negara, dia akan menjadi pelari hebat. Bertarung dengan lawan yang handal akan melonjakkan diri anda.

“Persaingan di luar negara memberi cabaran yang hebat dengan kualiti larian mampu membantu meningkatkan prestasi berbanding jika terus berkampung di tempat sendiri,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan kejayaan barisan atlet negara seperti Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam Abdul Manap hanya di Sukan Malaysia (SUKMA) dan cabaran berbeza pasti dihadapi jika bersaing di Sukan SEA.

Lantas Nazmizan menggesa atlet berkenaan diberikan pendedahan di peringkat tertinggi supaya mereka dapat berdaya saing.

Berdasarkan ranking Asia Tenggara dikeluarkan baru-baru ini, Khairul, Badrul dan Jonathan kini menguasai kedudukan tiga teratas.

Nama pemenang emas Sukan SEA dua tahun lalu, Eric Cray dari Filipina bagaimanapun tidak berada dalam senarai 10 pelari terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2017 @ 5:14 AM