SALAH (dua dari kiri) jaring gol tunggal Mesir.
Reuters

Port Gentil: Mesir menamatkan saingan awal Piala Negara Afrika dengan menduduki tangga teratas Kumpulan D selepas Mohammed Salah meledak jaringan menerusi sepakan percuma bagi membantu kemenangan 1-0 pasukannya ke atas Ghana di Port Gentil.

Sementara itu, Uganda beroleh gol serta mata pertama dalam tempoh 39 tahun di kejohanan berkenaan dan ia hadir menerusi keputusan seri 1-1 dengan Mali di Oyem.

Berikutan kemenangan itu, Mesir akan bertemu Maghribi di suku akhir manakala Ghana akan bermain di Oyem untuk berdepan juara Kumpulan C Republik Demokratik Congo.

Bermain sebagai satu unit dan penuh disiplin, Mesir memperoleh sepakan percuma pada 10 minit pertama permainan selepas John Boye mengasari Abdallah El Said dan peluang itu pantas disempurnakan Salah untuk menghasilkan jaringan.

Penjaga gol Mesir berusia 44 tahun, Essam El Hadary boleh dikatakan tidak dicabar dan hanya dua kali melayangkan badannya untuk menepis cubaan Christian Atsu serta Jordan Ayew.

Mesir yang juga juara tujuh kali, mula mempamer keyakinan selepas tidak beraksi selama tujuh tahun dan mereka muncul satu-satunya pasukan yang tidak melepaskan sebarang gol di peringkat kumpulan.

“Sasaran kami ialah untuk memenangi perlawanan, kami tidak pernah menetapkan untuk sekadar seri,” kata jurulatih Mesir Hector Cuper.

“Kalau boleh kami mahu bermain lebih baik di babak kedua tapi kami menentang pasukan yang hebat.”

Ghana kehilangan penyerang veteran Asamoah Gyan yang mengalami kecederaan, lima minit sebelum tamat babak pertama dan jurulatih Avram Grant tidak pasti sama ada anak buahnya itu akan kembali cergas untuk menghadapi saingan suku akhir.

“Keadaannya tidak begitu baik tapi Gyan seorang pemain yang kuat,” kata Grant. “Kami akan tunggu dan lihat. Kami akan menghantarnya untuk menjalani ujian imbasan dan keputusannya pasti lebih jelas.”

Uganda berjaya mengelak kekalahan ketiga berturut-turut selepas penyerang remaja Farouk Miya memberikan pendahuluan ketika bertemu Mali menerusi rembatan pada minit ke-70.

Tetapi kelebihan itu tidak bertahan lama dan Yves Bissouma menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma tiga minit kemudian.

Perlawanan itu berlangsung dalam keadaan padang becak selepas hujan lebat sekali gus menyukarkan pemain untuk membuat hantaran.

Kejohanan itu akan berehat selama dua hari sebelum suku akhir berlangsung Sabtu ini di mana Burkina Faso menentang Tunisia di Libreville sambil Senegal bertemu Cameroon di Franceville.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2017 @ 5:20 AM