Penduduk menggunakan khidmat bot berikutan laluan Kampung Paya Gunung ke Jerantut ditenggelami air sedalam antara 0.5 hingga satu meter. FOTO Amir Hamzah Nordin
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Kuantan: Jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 7,918 orang sehingga jam 10 pagi ini berbanding 6,712 malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Zainal Yusoff berkata, hanya dua daerah yang tidak dilanda banjir iaitu Bentong dan Cameron Highlands.

“Lipis mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu 2,228 orang daripada 626 keluarga yang ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS).

“Seramai 1,230 mangsa daripada 366 keluarga di Jerantut dipindahkan setakat ini diikuti Rompin iaitu seramai 1,001 orang daripada 277 keluarga,” katanya.

Temerloh pula mencatat bilangan mangsa seramai 859 orang daripada 210 keluarga.

Menurutnya, jumlah mangsa di Kuantan pula menunjukkan penurunan iaitu seramai 657 orang daripada 144 keluarga yang ditempatkan di enam PPS.

“Di Pekan, jumlah mangsa adalah seramai 490 orang daripada 114 keluarga, Maran (300 orang), Raub (237 orang) dan Bera (96 orang),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2017 @ 12:17 PM