BOT nelayan yang ditahan bersama tangkapan ikan kerana memukat ikan kurang dari lapan batu nautika dari pantai. Foto ihsan APMM
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Tindakan bot nelayan tempatan kelas B1 memukat ikan kurang dari lapan batu nautika dari pantai mengundang padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 7.1 batu nautika barat muara Kuala Kedah, hari ini.

Bot nelayan itu ditahan ketika bot peronda APMM Pangkalan Maritim Kuala Kedah sedang menjalankan rondaan di kawasan terbabit, 11.45 pagi tadi.

Pengarah APMM Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, hasil pemeriksaan di dalam bot itu mendapati terdapat seorang tekong dan dua awak-awak tempatan berusia 26 hingga 50 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui hasil tangkapan ikan 60 kilogram yang dirampas kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat lesen iaitu memukat ikan kurang dari lapan batu nautika dari pantai.

"Bot itu ditahan bersama hasil tangkapan ikan seberat 60 kilogram yang kemudian dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2017 @ 8:22 PM