ROBOT (kanan) yang dipasang di simpang jalan di bandar Xiangyang.
Agensi

Beijing: Sebuah bandar raya di China sudah mula menggunakan khidmat polis trafik robot untuk menangkap pejalan kaki yang melanggar peraturan lalu lintas.

Robot itu yang ditempatkan di persimpangan jalan di bandar Xiangyang di wilayah Hubei, tengah China, diprogramkan untuk menahan dan memberitahu pejalan kaki yang melanggar lampu isyarat.

Pihak berkuasa tempatan berharap dengan adanya pegawai trafik robot itu ia dapat membetulkan tabiat buruk penduduk bandar berkenaan ketika melintas jalan.

Penduduk China memang terkenal dengan sikap buruk di jalan raya, termasuk melintas bila-bila masa tanpa mempedulikan lampu isyarat.

Robot berkenaan boleh menghantar isyarat menerusi tindak balas tangannya, memberi amaran lisan kepada pejalan kaki dan nyalaan lampu sebagai peringatan.

Kepalanya bertindak sebagai kamera pengawasan yang boleh merakamkan kesalahan yang dilakukan pejalan kaki.

Semua rakaman akan disimpan sebagai bukti apabila kemalangan berlaku.

Polis juga akan menggunakan rakaman itu sebagai rujukan jika mereka perlu mendenda pejalan kaki yang tidak mematuhi undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2017 @ 5:04 AM