KESAN tembakan pada bot nelayan Vietnam.
ANGGOTA pasukan keselamatan menyoal siasat nelayan Vietnam yang diserang kumpulan bersenjata awal pagi ini.

Kota Kinabalu: Seorang tekong dan awak-awak warga Vietnam parah selepas ditembak sekumpulan lelaki bertopeng di laut berhampiran Pulau Bangi, Kudat, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, tekong berusia 47 tahun terbabit ditembak di dada manakala awak-awak berusia 33 tahun cedera di lutut.

Kedua-dua mangsa dirawat di Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2).

Difahamkan, ketika kejadian, seramai 10 nelayan Vietnam sedang menangkap ikan di perairan antara Kagayan, Filipina dan Pulau Banggi, Kudat sebelum didatangi kira-kira 10 lelaki lengkap bersenjata api.

Menyedari kehadiran kumpulan terbabit, nelayan kemudian menghidupkan enjin lalu cuba menyelamatkan diri, namun kumpulan bersenjata berkenaan terus melepaskan tembakan.

Kumpulan nelayan yang melarikan diri ditemui pasukan keselamatan di Pulau Sepanggar, di sini, sebelum dibawa ke Pangkalan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 1:11 PM