DATUK Seri Sunny Ung bersama keluarga angkatnya yang baru dan sijil kelahiran yang diusahakannya buat enam beradik di Kampung Kiambang. FOTO Muhammad Sufian Rosli
DATUK Seri Sunny Ung bersama keluarga angkatnya yang baru dan sijil kelahiran yang diusahakannya buat enam beradik di Kampung Kiambang. FOTO Muhammad Sufian Rosli


Pasir Mas: Impian tiga beradik berusia antara lapan hingga 12 tahun untuk bersekolah akhirnya tercapai.

Impian mereka tercapai selepas memperoleh Sijil Kelahiran bersama-sama tiga lagi adik mereka hasil bantuan seorang ahli perniagaan.

Siti Nur Syafiqa Abdullah, 12, Muhammad Syazwan Aiman, 10, serta Muhammad Syazwan Eqbal, 8, yang tidak memiliki Sijil Kelahiran sebelum ini sukar untuk mendaftar sekolah walaupun dilahirkan Malaysia.

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Berangan, Apam, Pasir Mas, hari ini, ibu mereka, Siti Nur Aidilfitri Che Nordin, 29, berkata dia bersyukur dengan bantuan diterima sehinggalah tiga anaknya berjaya memasuki Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kiambang.

Dia berkata, tiga lagi anaknya, Siti Nur Syafiena, 6, Siti Nur Syafiera, 3, dan Muhammad Syazwan Hakimi, 1, juga sudah memperoleh Sijil Kelahiran.

Oleh itu, katanya, dia berharap kehidupan mereka lebih baik dengan pelbagai bantuan dapat disalurkan selepas disahkan sebagai warga Malaysia.

“Memang proses mendapatkan Sijil Kelahiran amat rumit walaupun saya dan suami adalah warga tempatan selain kehidupan sukar menyebabkan anak saya terabai.

“Suami saya sebenarya sudah menghilangkan diri dan saya tidak mampu bekerja.

“Mujur ada pihak sanggup membantu mendapatkan Sijil Kelahiran anak saya,” katanya.

Sementara itu, ahli perniagaan terbabit, Datuk Seri Sunny Ung, berkata hatinya tersentuh apabila mendapat tahu masalah dihadapi keluarga terbabit dan berusaha membantu kesemua kanak-kanak berkenaan sehingga memperolehi Sijil Kelahiran.

Menurutnya kesemua kanak-kanak itu memang dilahirkan di Malaysia dan amat menyedihkan jika mereka dinafikan hak untuk mendapat manfaat sebagaimana warganegara lain.

“Saya berharap selepas ini mereka dapat belajar seperti kanak-kanak yang lain...saya akan berusaha membantu mereka dari segi perbelanjaan rumah kerana sudah tidak mempunyai bapa yang bertanggungjawab menyediakan perbelanjaan.

“Mereka akan dijadikan sebagai keluarga angkat saya di mana segala kos akan ditanggung sehinggalah mereka mampu berdikari, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2017 @ 8:38 PM