CARA memastikan mesej sampai kepada orang ramai menerusi laman sosial.
CARA memastikan mesej sampai kepada orang ramai menerusi laman sosial.
Syafil Syazwan Jefri


Perjuangan anak seni tidak pernah berhenti meskipun banyak rintangannya. Hakikatnya bukan semua anak seni dapat mencipta nama dengan mudah, ramai yang terpaksa berhempas-pulas bagi menempatkan diri dalam industri.

Itulah yang ingin disampaikan penyanyi dan komposer, Faizul Sany menerusi tulisannya di Twitter, baru-baru ini.

Ada yang melihat kenyataannya itu berbaur sinikal dan menyindir artis lain, namun baginya, itu cara memastikan mesej sampai kepada orang ramai.

“Sebenarnya, saya tak ada niat memburukkan nama orang lain. Ia hanyalah cara saya menyampaikan mesej kepada netizen.

“Netizen di Twitter kebanyakannya sangat sinikal ketika berbicara. Apa yang saya nampak, mereka tidak akan layan sekiranya saya menyampaikan mesej menggunakan perkataan berhemah. Jadi, saya ikut cara mereka dengan jadi lebih sinikal,” katanya.

Ditanya sama ada benar dia menyindir pelakon dan penyanyi, Fattah Amin dalam tulisannya di laman sosial itu, Faizul enggan mengulas kerana baginya, mesej yang cuba disampaikan itu bersifat umum.

“Kenyataan itu bersifat umum dan saya ingin mengajak lebih ramai untuk berfikir bahawa bekerja di dalam industri, tidaklah semudah yang disangka. Kebanyakan yang berjaya di dalam industri tidak ada sijil untuk mencerminkan kerjaya ini.

“Jadi, ia bergantung kepada usaha dan apabila berjaya barulah dihargai. Itulah susah senang menjadi anak seni,” kata Faizul.

Katanya, ramai penggiat seni bekerja keras secara profesional dan mengambil masa lama untuk menggilap bakat mereka.

“Saya sampaikan mesej ini kepada sesiapa saja supaya mempersiapkan diri sebelum menceburi bidang ini.

“Ramai yang bekerja secara profesional untuk menggilap dan mempamerkan bakat mereka. Masa yang diambil bukanlah pendek, ada yang makan masa sampai bertahun sebelum bakat mereka diiktiraf.

“Kalau ingin menjadi penyanyi, contohi dan hormati mereka yang bekerja keras dalam industri sebelum mencipta nama. Kerja dengan bersungguh-sungguh, biar orang nampak kemampuan kita,” katanya.

Ditanya sama ada dia lebih cenderung dikenali sebagai penyanyi atau komposer, Faizul berkata mahu kedua-duanya bergerak seiring.

“Saya lihat apa yang datang dahulu. Perjalanan kedua-dua kerjaya ini sebenarnya seiring, cuma mungkin sekarang nama saya lebih dikenali sebagai komposer.

“Saya tak ada masalah apa pun gelaran yang diberi kerana bagi saya sama ada menyanyi atau mencipta lagu, kedua-duanya adalah ‘pelaung’. Lebih mudah, saya gelarkan diri saya ‘singer-songwriter’, sama seperti idola saya iaitu Bruno Mars dan Faizal Tahir,” katanya.

Menurutnya, pernah timbul kerisauan dalam hati andai ramai menganggap dia tidak minat menyanyi lagi.

“Bohonglah kalau saya cakap tak risau. Namun, selagi muncul dengan karya baru, insya-Allah saya boleh bertahan sebagai penyanyi.

“Terbaru, saya tampil dengan lagu baru berjudul Stylo Mylo ciptaan Omar K dan lirik oleh Zel Hadauan. Ia dilancarkan tahun lalu dan akan mula diputarkan di radio tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 5:17 AM