ANTARA babak mendebarkan dalam Rings.
SAMARA kembali menghantui penonton.
Syafil Syazwan Jefri


Bagi pencinta filem seram, tentunya The Ring yang pernah menggegarkan pawagam pada 2002 menjadi salah satu karya wajib tonton.

Karakter seram Samara mencuri tumpuan penonton sehingga berjaya mengangkat The Ring sebagai filem kutipan paling tinggi sepanjang zaman mencecah AS$249 juta (RM1.1 bilion).

Selepas itu, muncul pula sekuel The Ring Two pada 2005 yang tidak kurang hebatnya. Terbaru, Samara kembali menghantui penonton menerusi siri ketiga, Rings yang akan ditayangkan di pawagam tanah air bermula 9 Februari ini.

Rings arahan F Javier Gutierrez pada mulanya dirancang ditayangkan pada 13 November 2015, namun ditunda pada 1 April 2016.

Bagaimanapun, pada Februari 2016 ia sekali lagi ditunda ke 28 Oktober 2016 bagi memberi laluan kepada filem seram Paranormal Activity: The Ghost Dimension.

Meskipun ditunda beberapa kali, promosi filem ini menjadi sebutan apabila pihak produksi, Paramount menyiarkan video ‘prank’ baru-baru ini.

Dalam video itu, seorang pelakon wanita berpakaian seperti Samara bergerak keluar dari skrin TV dan menakutkan pelanggan di kedai elektrik. Video itu mendapat sambutan dan ditonton lebih 200 juta penonton dalam masa 24 jam di Facebook.

Membariskan beberapa pelakon hebat antaranya Matilda Lutz, Alex Roe, Johnny Galecki dan Aimee Teegarden, Rings mengisahkan pasangan Julia (Matilda Lutz) dan kekasihnya, Holt (Alex Roe) merungkai kisah legenda misteri satu rakaman video.

Legenda itu mengatakan sesiapa sahaja yang menonton video itu akan mati selepas tujuh hari.

Julia mengorbankan dirinya untuk menyelamatkan Holt, namun dalam percubaannya itu dia berjaya merungkai satu lagi misteri lain iaitu rakaman dalam rakaman yang belum pernah ditonton oleh sesiapa sebelum ini.

Bagi Matilda, pengalaman membintangi filem seram adalah salah satu impiannya selama ini.

“Saya sangat gembira apabila diberi peluang menjayakan filem ini. Saya tidak boleh menjerit dalam kehidupan sebenar tetapi dalam filem seram, saya boleh melakukannya,” kata Matilda dalam satu temu bual.

Dalam temu bual sama, Matilda, 26, mendedahkan dia bukan seorang yang penakut.

“Saya sentiasa tertarik dengan filem seram. Saya tidak mudah berasa takut tetapi kadang-kadang apabila ternampak bayangan di tingkap, saya tidak boleh tidur,” katanya.

Bagaimanapun, pasti ramai menantikan kehadiran Rings yang menjadi penyambung kisah misteri Samara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 5:25 AM
Skip this ad x