KANAK-KANAK yang sesat di sebuah pasar raya dijemput ibunya di Balai Polis Semenyih, semalam. FOTO Ihsan pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Akibat leka mengemas barangan jualan, seorang wanita tidak menyedari anak perempuannya tersesat di sebuah pasar raya di Semenyih di sini, kelmarin menyebabkan kanak-kanak itu dihantar ke Balai Polis Semenyih untuk mengesan ahli keluarganya.

Kanak-kanak berusia tiga tahun itu ditemui oleh pekerja pasar raya berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak polis pada jam 9.30 malam, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, mangsa diserahkan kepada polis selepas dipercayai sesat ketika merayau-rayau di pasar raya berkenaan.

“Berdasarkan maklumat awal, mangsa dikatakan pergi ke pasar raya itu bersama ibunya sebelum dikatakan tersesat ketika ibunya sedang sibuk berniaga.

“Pekerja pasar raya yang menemui kanak-kanak berkenaan kemudian menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 8:15 AM