Muhammad Iman ditemui lemas di Pantai Cherating. FOTO ihsan bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuantan: Penuntut Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor yang dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Cherating, di sini, ditemui lemas 7.15 pagi tadi.

Muhammad Iman Saufi Sha'ari, 20, ditemui kira-kira 5 kilometer dari kawasan dia dilaporkan hilang ketika mandi bersama rakannya, semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan berkata, mangsa ditemui lapan anggota pasukan mencari dan menyelamat selepas operasi mengesan penuntut itu digerakkan sejak petang semalam.

Difahamkan, mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, penuntut semester tiga Diploma Kejuruteraan Awam itu mandi bersama enam lagi rakannya sebelum ditarik ombak kuat dan gagal diselamatkan .

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 9:10 AM