La Jolla, AS: Pemain Sepanyol Jon Rahm (gambar) menjulang gelaran Jelajah PGA Amerika Syarikat sulung dengan penuh bergaya semalam apabila mencatat eagle pada lubang terakhir dari kawasan ‘fringe’ untuk menjuarai kejohanan Terbuka Farmers Insurance di Torrey Pines.

Rahm berjaya melepaskan diri daripada kumpulan pencabar untuk mendahului 10 bawah par dengan birdie di lubang ke-17.

Pada lubang terakhir di South Course, pukulan keduanya jatuh ke kawasan ‘fringe’. Percubaan Rahm dari jarak 60 kaki menuju ke arah lubang untuk mencatat tujuh bawah par 65.

Catatan 13 bawah par 275 keseluruhan terbukti mencukupi untuk kemenangan tiga pukulan ke atas kumpulan pemain yang ditinggalkannya.

Pemain Taiwan Pan Cheng Tsung dan Charles Howell dari AS berkongsi tangga kedua dengan 10 bawah par 278.

Pemain England Justin Rose di belakang mereka dengan dua bawah par 70 untuk mengetuai kumpulan dengan 279 pukulan keseluruhan bersama-sama pemain AS Keegan Bradley (67), Pat Perez (70), Patrick Rodgers (72) dan Tony Finau (71).

Rahm, 22, yang bermula dengan bogey tetapi selepas mencatat birdie pada lubang ketiga, kelima dan ke-11 meletakkan dirinya antara pendahulu dengan eagle di lubang ke-13.

“Terima kasih kepada lubang ke-13, saya berjaya mendapatkannya,” kata Rahm yang mana pukulan kedua dari bunker membolehkannya melakukan tolakan sejauh 18 kaki untuk membenam eagle. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 6:05 AM
Digital NSTP Subscribe