RONALDO (kanan) menyumbat masuk gol kedua Real.
AFP

Madrid: Real Madrid melebarkan penguasaan La Liga kepada empat mata dan masih mempunyai kelebihan satu perlawanan ke atas lawan mereka ketika Cristiano Ronaldo meledak jaringan untuk menang 3-0 ke atas Real Sociedad di Santiago Bernabeu.

Sebelum itu, Barcelona tidak berpuas hati dengan kurangnya teknologi garisan gol di La Liga apabila jaringan mereka tidak dibenarkan pengadil sebelum sekadar seri 1-1 di Real Betis.

Bagaimanapun, Barca masih melonjak ke tangga kedua hasil perbezaan jaringan apabila Sevilla beraksi dengan 10 pemain sejak minit kedua tewas 1-3 kepada Espanyol.

Real menang satu daripada lima perlawanan sebelumnya dan tersingkir daripada Piala Raja Sepanyol di tangan Celta Vigo.

Biarpun tanpa enam pemain utama yang mengalami kecederaan, Real mengambil langkah besar untuk merebut gelaran La Liga pertama dalam tempoh lima tahun ke atas Sociedad yang kekal satu mata daripada empat pasukan teratas di tangga kelima.

“Selepas mengharungi beberapa hari yang sukar, kami kembali menemui rentak malam ini. Ia aksi sempurna menentang pasukan hebat,” kata jurulatih Real Zinedine Zidane.

“Kami boleh katakan ia malam yang indah buat kami kerana pencabar kami seri atau kalah.”

Mateo Kovacic membuka jaringan dengan satu-satunya peluang pada babak pertama apabila lariannya dari bahagian tengah tepat pada masa Ronaldo melorongkan bola dan merembat leret melepasi Geronimo Rulli.

Mereka bertukar watak enam minit separuh masa kedua apabila kali ini hantaran Kovacic melepasi pertahanan Sociedad dan Ronaldo dengan tenang menolak bola masuk melepasi Rulli untuk gol ke-20 musim ini.

Tugas Sociedad menjadi semakin sukar 15 minit sebelum tamat apabila Inigo Martinez dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua.

Alvaro Morata kemudiannya menghukum lawan apabila merembat hantaran Lucas Vazquez untuk gol ketiga lapan minit sebelum tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 6:11 AM