Anggota AADK menahan lelaki disyaki penagih dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Lembah Palas, Changlun malam tadi. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menahan 21 penagih dadah dalam serbuan di sekitar pekan Changlun dan kawasan sempadan Malaysia-Thailand dalam Op Cegah Sempadan sejak semalam hingga awal pagi tadi.

Dalam operasi itu, 22 lelaki diperiksa dan seorang dibebaskan selepas ujian air kencing negatif dadah.

Ketua Operasi AADK Kedah, Megat Rodzep Megat Teh berkata, semua lelaki berusia 19 hingga 52 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan.

Beliau berkata, mereka ditahan kerana positif dadah jenis syabu, morfin dan ganja malah pihaknya percaya mereka memperoleh bekalan melalui pengedar di sekitar pekan Changlun dan Bukit Kayu Hitam.

"Operasi ini disertai seramai 30 anggota penguat kuasa AADK Kedah, Kubang Pasu dan Unit Anti Dadah Sempadan Bukit Kayu Hitam untuk membanteras kegiatan penagihan dadah di kawasan sempadan.

"Kebanyakan penagih yang ditahan mempunyai rekod sebelum ini dan kita tahan mereka mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 dan dibawa ke pejabat AADK Kubang Pasu untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui selepas operasi awal pagi tadi.

Dalam operasi malam tadi, empat lelaki disyaki penagih cuba melarikan diri melalui bumbung di sebuah rumah di Kampung Lembah Palas, Changlun jam 12 tengah malam dan seorang berjaya ditahan.

Hasil soal siasat mendapati remaja berusia 19 tahun itu ke rumah berkenaan untuk melepaskan gian menghisap dadah dan ujian saringan awal terhadapnya mendapati dia positif dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 12:48 PM