TENGKU Mohd Zailan (kanan) menunjukkan barang yang dirampas. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Polis menahan lelaki di kedai makan di Taman Mas, Kampung Koh di sini, hari ini kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan curi kabel dan sarang burung di sekitar daerah ini.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, lelaki berusia 29 tahun itu turut mempunyai empat rekod lampau membabitkan dua rekod dadah dan dua rekod masing-masing satu mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Hakisan dan Seksyen 28(1)(I) Akta Kesalahan Kecil.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, berdasarkan soal siasat pihaknya turut menemui pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan curi kabel dan sarang burung.

"Kita percaya selain melakukan aktiviti curi kabel lelaki itu turut menjalankan kegiatan curi sarang burung dalam masa yang sama berikutan penemuan peralatan yang dirampas.

"Antara peralatan yang dirampas seperti alat pemotong wayar, besi penarik dan penarik kabel selain alat pembesar untuk membunyikan suara merdu bagi menarik perhatian burung dan senjata berbahaya.

"Selain itu, turut dirampas adalah sarang burung, wang tunai, sebuah kereta Proton Saga dan sembilan peket dadah dipercayai Syabu seberat 49.04 gram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung,di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 9:35 PM