ANTARA kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan Polis
Muhammad Apendy Issahak


Batu Gajah: Lelaki warga emas maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Batu Gajah-Tanjung Tualang, berhampiran Chenderong, di sini lewat, hari ini.

Dalam kejadian 6.15 petang itu, mangsa Chong Kum Fook, 67, yang bekerja sendiri dan beralamat di Taman Perak Indah, Kampar, dekat sini meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Toyota Land Cruiser yang dipandu mangsa dan Toyota Vios serta Perodua Viva yang kedua-duanya dipandu suami isteri.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Land Cruiser yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan Vios yang dalam perjalanan menuju ke Tanjung Tualang.

"Pemandu, Vios, Chiew Chan Fuh, 30, dalam perjalanan dari Batu Gajah bersama isterinya, Lee Meng See, 27, yang memandu Viva dan mengekori dari belakang, gagal mengelak kenderaan mangsa yang terbabas ke laluan mereka menyebabkan Vios dan Land Cruiser berlanggar pada bahagian kiri depan.

"Kereta Viva juga gagal mengelak hingga merempuh bahagian belakang Vios, namun suami isteri berkenaan yang bekerja sebagai tukang masak dan berasal dari Gopeng, dekat sini tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Nasri berkata, susulan perlanggaran ketiga-tiga kenderaan terbabit, pemandu Land Cruiser maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Batu Gajah dan dijangka dibedah siasat 10.30 pagi esok.

Pix : KEADAAN tiga kenderaan yang terbabit kemalangan hingga mengakibatkan lelaki warga emas yang memandu Land Cruiser maut dilokasi kejadian.

Gambar ihsan PDRM

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 9:54 PM