Melissa (tengah) melayan pelanggannya makan ‘nasi lemak aiskrim’ di gerainya di Cafe Diem Jalan Penjara Lama, Pekan Cina. Alor Setar. - Foto Bernama
Rasa dulu baru tahu keenakan nasi lemak ais krim inovasi wanita lulusan Ijazah Sarjana Muda Rekaan Grafik dari Universiti Middlesex, London. - Foto Bernama
BERNAMA

Alor Setar: Nasi Lemak Aiskrim kedengaran agak janggal dan pelik namun makanan kegemaran rakyat Malaysia ini berjaya diinovasikan seorang gadis yang menghasilkan aiskrim perisa nasi lemak.

Melissa Tan Chia Hui, 25, lulusan Ijazah Sarjana Muda Rekaan Grafik dari Universiti Middlesex, London, nekad meninggalkan kerjaya sebagai pereka grafik di sebuah syarikat di Pulau Pinang, untuk menghasilkan produk jenama sendiri, 'Skream Softserve'.

Melissa yang juga penggemar nasi lemak berkata, dia menghasilkan makanan itu bagi menyuntik inovasi baharu kepada makanan tradisi Melayu berkenaan yang turut diminati pelbagai kaum di negara ini.

"Bukan kerana gimik atau ingin mendapat perhatian, malah jauh sekali ingin digelar hipster.

"Matlamat saya menghasilkan perisa yang lazat, orang ramai akan menyukainya dan mereka akan berkata, 'oh ini benar-benar aiskrim perisa nasi lemak'.

“Bagi memastikan menu ini tulen dan istimewa dari kampung halaman kami, saya jadikan ia lebih bersifat tempatan, semua kaum boleh makan," katanya ketika ditemui di Kafe Diem, di Jalan Penjara Lama, Pekan Cina di sini.

Walaupun namanya Nasi Lemak Aiskrim, namun ia dihidangkan tanpa nasi, di atas aiskrim ditabur dengan bahan utama yang terdapat pada menu nasi lemak seperti kacang tanah, ikan bilis, sambal, telur (telur puyuh) dan timun.

Melissa berkata, aiskrimnya dihasilkan menggunakan perisa serai dan santan kelapa dan apabila dijamah, rasanya tidak ubah seperti nasi lemak sebenar.

"Semua bahan ini saya hasilkan sendiri dan segar tanpa pengawet. Saya ambil masa tiga bulan untuk buat kajian dan belajar buat nasi lemak sendiri.

"Perkara paling sukar saya nak buat ialah sambal kerana perlu buat sambal kering yang ada rasa pedas. Sambal terlalu berminyak tidak sesuai dicampurkan bersama aiskrim," katanya.

Melissa baru sahaja seminggu memulakan perniagaan di kafe itu dengan kerjasama pemilik kafe yang menghidangkan kek dan pelbagai jenis kopi.

"Pada hari pertama, saya berjaya jual 30 cawan aiskrim nasi lemak, bagaimanapun semalam saya berjaya menjual 144 cawan (harga satu cawan RM10)," katanya.

Dia tidak ambil endah dengan komen negatif di media sosial sebaliknya anggap ia ruang untuk memperbaiki kelemahan.

"Ramai kata saya macam-macam, kerana hasilkan idea seperti ini tapi saya tidak kisah kerana tahu ini cabaran.

“Ada yang kata saya tidak waras, makanan ini mungkin meloyakan, tapi apa kata, cuba dulu baru mereka boleh tahu rasanya," katanya yang berhasrat mewujudkan perniagaan francais.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 10:33 PM