DAYANG sifatkan dirinya seperti orang baru setiap kali melangkah ke AJL.
Sudirman Mohd Tahir


Kemenangan penyanyi Dayang Nurfaizah di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-31 baru-baru ini terus mengukuhkan nama dan pengaruhnya dalam bidang nyanyian.

Dayang atau nama sebenarnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 36, berkata, dia tidak terfikir untuk ‘berehat’ daripada menyertai acara berprestij itu meskipun perkara sama dilakukan beberapa penyanyi lain.

“Bagi saya setiap anugerah yang diberikan datang dengan tanggungjawab dan harapan. Macam saya, tak terfikir pun untuk berehat atau berhenti daripada menyertai AJL. Sekiranya rezeki itu masih ada, takkan saya nak menolak.

“Tidak salah jika saya terus memeriahkan acara berprestij itu. Diakui tekanan memang ada kerana ia pasti ada dalam mana-mana pertandingan. Tapi tekanan itu membuatkan saya lebih bersemangat dan berfikir secara kreatif.

“Paling penting jangan anggap tekanan itu sebagai bebanan. Sebaliknya ia membuatkan saya lebih bekerja keras bagi menampilkan sesuatu yang terbaik. Memang awalnya berasa penat, namun selepas melihat hasilnya pasti rasa berbaloi,” katanya.

Dayang yang kali pertama bergelar juara dan kali ketiga memenangi kategori Vokal Terbaik di pentas itu menyifatkan dirinya seperti orang baru apabila setiap kali melangkah ke AJL.

Menurut Dayang dia tidak pernah meletakkan dirinya sebagai penyanyi senior sehingga wujud jurang antara dia dengan penyanyi baru lain.

“Apabila beraksi di pentas akhir AJL, tak wujud istilah penyanyi baru atau lama. Pertandingan tetap pertandingan. Lagipun, pada malam itu setiap finalis sudah melakukan yang terbaik.

“Setiap kali bertanding saya sentiasa meletakkan diri sebagai orang yang bertanding. Tak pernah terfikir diri ini penyanyi senior. Kalau nak tahu saya masih mempunyai perasaan gementar setiap kali nak memulakan persembahan. Bagaimanapun, saya memuji sikap dan usaha semua penyanyi yang ada kerana berjaya membuat persembahan dengan terbaik,” katanya.

Tak ada isu

Pada masa sama, Dayang turut menyelar tanggapan pihak tertentu yang mendakwa persembahannya pada malam AJL itu adalah ‘permainan’ TV3.

Dayang juga bersetuju dengan kenyataan yang diberikan penerbit berhubung isu itu seperti yang disiarkan dalam Harian Metro minggu lalu.

“Perkara ini tak perlu dijadikan isu besar pun. Mungkin orang itu tak faham proses pertandingan AJL. Bagi saya jawapan pihak TV3 itu memang betul iaitu tak ada siapa lebih atau kurang. Semua bentuk persembahan pada malam itu datangnya daripada penyanyi, komposer dan penulis lirik.

“Pihak penerbitan tidak masuk campur. Mereka hanya membantu menunaikan permintaan finalis. Pendek kata tak ada istilah pilih kasih,” katanya.

Dayang juga memberitahu persembahannya yang menampilkan pemuzik iringan adalah kehendaknya dengan kos sendiri.

“Orang luar tak faham. Itu adalah cara dan inisiatif penyanyi itu sendiri. Memang tak adil apabila ada pihak yang mengeluarkan komen sebegitu. Kalau boleh siasat dahulu sebelum bercakap sesuatu.

“Saya yang berada di tempat itu berasa tak sedap hati. Bukan apa, saya tak nak peminat berfikir apa yang ditulis itu adalah benar. Sedangkan hakikat sebenar ia salah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dayang baru muncul dengan single berjudul Pejamkan Mata ‘featuring’ dengan Malique.

Pada masa sama, Dayang kini dalam proses menyiapkan album terbaru yang berbaki satu sahaja lagi lagu untuk dirakam.

“Album ini memuatkan 10 lagu. Tujuh lagu baru dan tiga lagi single yang pernah dilancarkan seperti Di Pintu Syurga, Tak Pernah Menyerah dan Lelaki Teragung.

“Dalam album ini saya bekerjasama dengan komposer lama dan baru. Insya-Allah album ini siap sepenuhnya pertengahan tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 5:10 AM