X
Nabil Basaruddin


Petaling Jaya: Golden Screen Cinemas Berhad (GSC), rangkaian pawagam terbesar di Malaysia bakal menembusi pasaran Kemboja menerusi pawagam sulungnya di Phnom Penh Mall yang terletak di bandar raya Phnom Penh membabitkan pelaburan berjumlah RM18 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Koh Mei Lee berkata, pawagam berkenaan dijangka mula beroperasi penghujung tahun ini atau suku pertama tahun depan bergantung kepada kerja pembinaan dan pemasangan layar pawagam siap sepenuhnya.

Beliau berkata, pawagam baru sembilan layar itu akan dilengkapi dengan fasiliti serta teknologi sama seperti di Malaysia seperti dewan pawagam Gold Class, dewan pawagam digital Maxx dan dewan pawagam dengan teknologi audio sekeliling, Dolby.

“Kami berhasrat memberikan tawaran terbaik kepada pelanggan di Kemboja dengan memberikan fasiliti yang sama bagi memberikan pengalaman menonton filem terbaik dan selesa.

“Pembukaan pawagan di negara itu antara usaha strategik bagi memperkukuhkan lagi kehadiran GSC di pasaran global, sekali gus menjadikan jenama pawagam ini lebih dikenali oleh masyarakat antarabangsa,” katanya.

Pawagam sulung di Phnom Penh itu akan dibuka di pusat beli-belah terbesar di Kemboja yang terletak di lokasi strategik iaitu berdekatan pejabat kerajaan dan tumpuan orang ramai selain jalan utama menghubungkan terus ke lapangan terbang.

Selain Kemboja, rangkaian pawagam itu turut mempunyai operasi di Vietnam dengan kapasiti 43 layar di tujuh lokasi utama termasuk Ho Chi Minh, Hanoi, Da Nang dan Delta Mekong.

Beliau berkata, bagi operasi di Vietnam, GSC bekerjasama dengan Galaxy Studio, pengendali rangkaian pawagam tempatan ketiga terbesar di negara itu dengan pegangan saham sebanyak 40 peratus berbanding 25 peratus sebelum ini.

Menurutnya, GSC turut merancang menggandakan jumlah lokasi kepada 20 pawagam di Vietnam menerusi pegangan saham dalam Galaxy Studio dalam tempoh dua tahun akan datang bermula tahun ini.

“Vietnam mempunyai potensi luar biasa bagi industri ini dan mampu berkembang dengan baik terutama dengan populasi mencecah 19 juta orang.

“Dengan pengukuhan kedudukan di Vietnam dan pembukaan pawagam pertama di Kemboja, kami yakin ia akan menjadi laluan masuk kepada GSC untuk meneroka pelbagai pasaran baru di negara Indochina pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 7:59 AM