ANTARA kebaikan yang dilakukan Muhammad Ali dan Nabila.
SITI Nur Fatehah menyiapkan barangan yang ingin disumbangkan di pasar.
SITI Fatimah tidak pernah jemu mendidik Siti Nur Fatehah
ANTARA kebaikan yang dilakukan Muhammad Ali dan Nabila.
MUHAMMAD bersama Muhammad Ali dan Nabila.
ANTARA aktiviti yang dilakukan oleh Asyraf.
Hajahfarhana Tarmudi


Anak umpama kain putih yang suci dan bersih. Ibu bapa, individu yang bertanggungjawab mendidik si kecil menjadi insan yang berjaya sekali gus dapat membantu rakan kurang bernasib baik.

Duit bukan ukuran untuk membuat kebaikan dan itulah yang diterapkan dalam diri anak agar mereka sentiasa berkongsi kegembiraan dan rezeki bersama rakan sebaya biarpun bukan dibesarkan dalam keluarga berada.

Umpama melentur buluh biarlah daripada rebungnya, begitulah juga dengan didikan awal yang perlu diterapkan dalam diri anak kecil ini.

Pelbagai cara boleh dilakukan bagi menerapkan nilai murni dalam diri anak mengenai kebaikan dan berkongsi kegembiraan bersama rakan sejak kecil dan mungkin kaedah berbeza antara ibu bapa lain.

Bermula dari rumah

Muhammad Kamarulazizi, bapa kepada Muhammad Ali, 8, dan Nabila, 4. Bagi pengasas Kindness Malaysia ini, anak anugerah yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya.

“Anak ialah rezeki yang dianugerahkan untuk dikongsikan kasih sayang dan bakal menjadi warisan kepada ibu bapa apabila sudah tiada kelak. Saya bersyukur dan bertuah kerana dikurniakan dua cahaya mata yang kini sudah menjejak kaki ke alam persekolahan.

“Saya aktif dalam Kindness Malaysia, menekankan misi untuk menyebar dan memberi inspirasi kebaikan kepada orang ramai tanpa mengira latar belakang atau warna kulit bagi menyedarkan semua orang kebaikan itu perlu bermula dari rumah.

“Ia perlu dimulakan oleh ketua keluarga. Oleh itu, saya sentiasa mencari idea kreatif untuk terapkan kebaikan atau sifat baik dalam diri anak saya terlebih dulu,” katanya.

Mengapa mereka perlu dididik untuk jadi baik? Ini kerana jika anak kita baik, orang di sekelilingnya akan mendapat manfaat daripada sikap berkenaan seperti kawan atau ibu bapa sendiri.

Namun, kebaikan itu sendiri yang akan memberi kesan mendalam kepada anak terutama dalam pembentukan minda dan hati anak mereka.

Ujarnya, sahsiah diri dan akhlak yang utama ditekankan kerana itulah asas kepada keseluruhan sikap. Hati yang baik akan membentuk pemikiran, tutur kata dan perbuatan yang baik.

“Ketika anak sudah mula berjalan saya berasa sangat gembira kerana mereka sudah boleh mengikut saya melakukan kebaikan bersama-sama.

“Saya bersyukur kerana Muhammad Ali boleh berjalan pada umur setahun tiga bulan manakala adiknya pada usia tujuh bulan dan saya mempunyai teman melakukan kebaikan yang akan sentiasa setia bersama melakukan aktiviti dianjurkan.

“Aktiviti yang biasa dilakukan bersama mereka ialah pergi ke pasar. Setiap Jumaat, kami ke pasar malam berhampiran rumah dan di situ ada banyak peluang kebaikan yang boleh dilakukan,” katanya.

Tabung Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau individu yang memerlukan banyak di pasar malam. Muhammad memastikan dia mempunyai RM1 untuk diberikan kepada dua anaknya agar mereka dapat memasukkan ke dalam tabung yang ada dan ia sudah menjadi rutin.

Hingga kini, dua anaknya tidak pernah mempersoalkan sebab mereka perlu menyumbang duit kerana itulah antara kebaikan yang pertama dilakukan apabila anak sudah boleh berjalan.

Selain itu, setiap pagi sebelum ke tempat kerja, sudah menjadi rutin Muhammad untuk ke pasar pagi bagi membeli keperluan dapur seperti ikan, ayam dan sayur di UTC Sentul sejak anaknya kecil.

Di pasar pagi, ada 1,001 kebaikan yang dapat dilakukan. Sebelum tiba di pasar, Muhammad membelikan sarapan untuk mereka seisi keluarga dan pastinya, dia membeli lebih untuk dikongsikan bersama orang lain seperti pengawal keselamatan atau pekerja pembersihan.

Menariknya, anak Muhammad yang memberikan sendiri sarapan yang dibeli tadi kepada pekerja berkenaan biarpun penerimanya berasa agak pelik dan seperti biasa mereka memerhatikan sekeliling terlebih dulu.

“Saya hanya perhatikan dari jauh dan apabila saya mengangkat tangan sebagai tanda pemberian barulah mereka tersenyum. Mereka ambil bungkusan sarapan itu dan ucapkan terima kasih kepada anak saya.

“Di sini secara tidak langsung anak saya belajar untuk ucap terima kasih apabila ada kebaikan lain yang datang kepada dirinya sendiri. Sudah jadi kebiasaan dalam raga motosikal saya ada bekas makanan kucing.

“Anak saya sangat sukakan kucing, tetapi kami tidak membelanya di rumah. Oleh itu, setiap pagi kami singgah di kawasan deretan kedai dalam perjalanan pulang ke rumah untuk bermain dan memberikan makanan kepada kucing yang sudah sedia menunggu,” katanya.

Ujarnya, melakukan kebaikan ini sudah menjadi sebagai rutin yang menyeronokkan dan setiap hari anaknya berusaha bangun awal kerana ingin mengikut Muhammad ke pasar pagi.

Secara tidak langsung, rutin berkenaan dapat melatih anak tidur awal agar mereka dapat bangun awal seawal jam 6 pagi untuk menunaikan solat Subuh.

Di Kindness Malaysia, setiap sukarelawan mempunyai tabung kebaikan sendiri. Bagi lelaki, biasanya ia terletak di poket belakang seluar sebelah kiri dan perempuan menggunakan poket beg tangan mereka sebagai ‘poket Kindness’.

Poket berkenaan membolehkan mereka menyimpan RM1 untuk setiap pembelian barang setiap hari dan idea berkenaan turut diterapkan kepada dua anak Muhammad.

“Kita selalu risau jika duit dalam dompet akan habis jika melakukan kebaikan seperti sedekah. Namun, dengan adanya poket ini, kita sudah ada tabung khas untuk melakukan kebaikan tanpa perlu risau jumlah duit yang ada dalam dompet berkurangan.

“Percaya atau tidak, duit dalam poket ini jarang sekali habis. Bagi saya, melakukan kebaikan ini sebenarnya mudah. Kita yang sudah dewasa adakala rasa terikat seolah-olah untuk lakukan kebaikan ini memerlukan duit yang banyak atau masa terluang.

“Sedangkan kebaikan itu boleh dilakukan pada bila-bila masa saja, selagi ada manusia atau makhluk Tuhan di mana-mana, di situlah peluang wujud,” katanya.

Jelasnya, sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menerapkan amalan kebaikan kepada anak sejak dari rumah. Siapa tidak mahu anak mereka menjadi anak yang soleh dan mendoakan ibu bapanya apabila ibu bapanya sudah tiada lagi?

Jadi, mulakan didikan anak dengan melakukan kebaikan dan jadikannya sebagai rutin harian. Biar kecil, tetapi berterusan setiap hari. Untuk lakukan kebaikan itu sebenarnya tidak susah, tetapi terpulang kepada diri sendiri untuk memilih dan membuat keputusan untuk melakukannya.

Sebagai seorang bapa, Muhammad mengambil inisiatif untuk mendidik dua anaknya melakukan kebaikan tidak kira masa, tempat atau kepada sesiapa pun.

Simpan duit hasil bengkel

Bagi Nurul Ashikin Md Nasir, mendidik Wan Ahmad Asyraf Wan Mohd Fairuz, 9, membantu rakannya antara cara untuk menggalakkan anaknya sentiasa bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang mereka miliki.

Pada masa sama, ia juga melatih anaknya yang mesra disapa Asyraf untuk sentiasa peka dengan keperluan rakan kurang bernasib baik di samping membina rasa tanggungjawab terhadap insan di sekelilingnya.

“Apabila mula didedahkan dengan keperluan untuk membantu kawan lebih memerlukan, Asyraf menyimpan azam untuk mempunyai duit yang banyak supaya dia dapat membantu lebih ramai orang terutama anak yatim.

“Ada kalanya dia mengingatkan saya jika ada anak yatim yang ingin mengikuti bengkel kendaliannya supaya tidak perlu membuat sebarang bayaran,” katanya.

Ujarnya, ketika Asyraf berumur lapan tahun dia ada menyertai program Grow The Goose. Melalui program berkenaan, Asyraf mula mengenali tabung untuk membuat kebaikan yang diberi nama ‘help jar’.

Setiap kali ibunya membawa Asyraf ke rumah asnaf atau anak yatim, dia pasti tidak akan lupa mengenai tabung itu. Lebih membanggakan apabila Asyraf menyumbangkan suku daripada keuntungan yang diperoleh melalui bengkel kendaliannya, Learn to Make Your Own Aircraft kepada asnaf dan anak yatim.

Selain itu, RM2 dimasukkan ke dalam tabung ‘help jar’ miliknya untuk setiap jualan baju-T dan buku nota dengan motif lukisannya, model kapal terbang.

Malah, setiap hari Asyraf juga memasukkan duit lebihan belanja sekolahnya ke dalam empat tabung berbeza yang dimilikinya setiap hari.

Aktif melakukan kebaikan

“Penting untuk kita sebagai ibu bapa menerapkan naluri dan sikap suka membantu sesama manusia apatah lagi kepada golongan yang kurang berkemampuan,” kata Siti Fatimah Ibrahim, 28.

Ibu kepada Siti Nur Fatehah Khairi, 7, menganggap setiap didikan mengenai kebaikan bermula dari rumah itu pastinya dapat memberi kesan positif kepada diri sendiri dan anaknya.

“Seawal umur tiga tahun saya sudah didik anak untuk berkongsi dan memberi kebaikan sama ada permainan dan makanan dengan sepupu dan kawannya.

“Setiap kali bawa anak ke pasar, saya bekalkan RM2 untuk disedekahkan kepada golongan kurang berkemampuan yang terdapat di situ. Ia sudah menjadi rutinnya setiap kali kami ke pasar. Jika saya lupa, dia ingatkan saya dengan meminta RM2 untuk bersedekah,” katanya.

Pada masa sama, anaknya itu juga ada menyertai program amal untuk membantu rakan sebaya yang kurang berkemampuan. Misalnya, baru-baru ini ada program pasar bebas, Back to School dan anaknya itu menyediakan set alat tulis selain buku cerita dan permainan yang masih dalam keadaan baik untuk disedekahkan.

Secara tidak langsung, aktiviti menyiapkan bungkusan berkenaan menjadi sesi menyeronokkan apatah lagi dapat membantu rakan sebayanya.

“Saya juga mengingatkan anak agar sentiasa berkongsi bekal dan alat tulis dengan kawan yang tidak membawanya ke sekolah. Bukan itu saja, anak juga ada menyediakan tabung khas sendiri untuk menyimpan wang bagi membolehkan dia bersedekah bagi projek amal akan datang.

“Bagi saya, apabila kita menerapkan sikap bersedekah dalam diri anak kecil ini, secara tidak langsung anak akan menjadi pemurah, lemah lembut dan memahami kesusahan orang sekeliling.

“Saya mahu anak faham bukan semua orang berkemampuan dan sama dengan dirinya sendiri. Apabila anak berfikir dia kurang mampu memiliki apa saja barangan diinginkan, saya berharap dia dapat menyedari ada insan yang lebih susah.

“Harapan saya agar sikap suka membantu sesama manusia ini akan diamalkan hingga dia dewasa dan di mana saja dia berada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 1:15 PM