Gambar kanak-kanak perempuan yang mendukung bayi tular di Facebook (FB) pagi semalam. FOTO ihsan pembaca
Mary Victoria Dass


Kulai: Kanak-kanak perempuan berusia enam tahun bersama adik lelakinya berumur enam bulan yang ditemui tanpa pengawasan ibu bapa di tepi laluan di Taman Senai Jaya, di sini, pada 10 pagi semalam sudah diserahkan kepada keluarga kandung.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kulai Mohd Iskandar Abu Bakar berkata, siasatan mendapati kanak-kanak itu keluar rumah tanpa pengetahuan ahli keluarga.

Beliau berkata, ketika keluar rumah, kanak-kanak itu membawa adik lelaki, botol susu dan tuala bayi.

Menurutnya, orang ramai menemui kanak-kanak itu mendukung adik di tepi jalan sejauh satu kilometer dari kediaman mereka.

Katanya, siasatan mendapati kanak-kanak itu dan adik lelakinya ditinggalkan bersama bapa saudara sementara bapa mereka menghantar ibu ke tempat kerja.

"Kanak-kanak itu dipercayai menggunakan pintu belakang untuk keluar rumah hingga tidak disedari bapa saudara yang tidur di tingkat atas.

"Mereka kemudian diserahkan kepada polis dan kes itu dirujuk kepada JKM.

"Ibu bapa mereka berjaya dikesan sebelum proses penyerahan dan siasatan selesai pada 2 petang semalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 2:26 PM