Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Polis menahan seorang lelaki Siam dan merampas 1,280 bungkusan daun ketum seberat 243.2 kilogram bernilai RM7,200 di Pokok Sena, dekat sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, suspek berusia 30 tahun yang memandu Proton Waja bertindak melarikan diri selepas panik melihat anggota polis Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menjalankan rondaan di kawasan Jalan Kedondong, Pokok Sena.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, anggotanya yang menaiki dua motosikal dan sebuah kereta mengejar suspek sejauh lebih 20 kilometer.

Menurutnya, seorang anggota polis trafik berusia 32 tahun yang menunggang motosikal cedera di kaki dan tangan akibat dirempuh suspek.

"Suspek melalui kawasan bersempadan Jitra sebelum memasuki Padang Terap dan berpatah semula ke Pokok Sena sebelum berjaya ditahan di Bukit Tembaga.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta menemui sebanyak 1,280 bungkusan daun ketum seberat 243.2 kilogram yang disembunyikan di tempat duduk belakang dan bonet kereta," katanya pada sidang media di IPD Kota Setar, di sini, tadi.

Mohd Rozi berkata, siasatan juga mendapati suspek yang sudah berkahwin mengambil bekalan itu di Padang Terap untuk diseludup ke negara jiran.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 108 APJ 1987.

"Suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik direman bermula semalam sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 3:49 PM
Mohd Rozi menunjukkan daun ketum di dalam sebuah kereta pada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar. FOTO Amran Hamid