Anis Amira melihat kolam miliknya kosong di Kampung Pasir Dusun akibat banjir Jumaat lalu. FOTO Kamal Majid


Jeli: Seorang penternak ikan patin kerugian lebih RM10,000 selepas kolam ikannya dilanda banjir di Kampung Pasir Dusun, Jeli, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 7 pagi itu, kolam berkenaan melimpah melebihi paras tebing menyebabkan semua ikan patin terlepas mengikut arus air banjir.

Anis Amira Ab Rahman, 25, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah yang terletak tidak jauh dari kolam sebelum dimaklumkan oleh jiran.

"Luluh hati melihat kolam dipenuhi air banjir. Siapa yang tidak sedih apabila melihat ikan yang diternak hampir setahun lalu terlepas.

"Saya tidak berdaya melakukan apa-apa," katanya ketika ditemui di sini, tadi.

Menurutnya, dia hanya menunggu peraih untuk memasarkan ikan di sekitar Jeli dan Kuala Balah.

"Walaupun kerugian puluhan ribu ringgit, saya reda dan mungkin bukan rezeki saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 6:42 PM