USTAZ Amal (duduk, tengah)gembira apabila penyanyi terkenal kini turut membawakan lagu-lagu kerohanian.
Oleh Norhayati Nordin

Selepas sedekad tidak dianjurkan gara-gara industri lagu nasyid tempatan mengalami era suram, kini IKIM FM tampil memberi nafas baru untuk penganjuran semula Anugerah Nasyid IKIM FM 2014 yang akan berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 10 Januari depan.

Selaku satu-satunya stesen radio yang menjadi saluran utama menyiarkan Carta IKIM FM untuk lagu-lagu nasyid dan bergenre ketuhananan, langkah diambil disambut baik.

Penerbit yang turut bertindak selaku penyampai Carta Ikim FM, Mohd Erwan Johari berkata, pihaknya cukup teruja menganjurkan semula Anugerah Nasyid IKIM FM 2014 itu.

"Lagu nasyid tempatan kini kembali mendapat sambutan baik masyarakat. Malah, semakin ramai artis baru nasyid yang berpotensi muncul termasuk penyanyi terkenal sedia ada yang tampil menghasilkan lagu bergenre ketuhanan dan kerohanian," katanya.

Menurutnya, langkah penganjuran semula Anugerah Nasyid IKIM FM 2014 bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada penggiat nasyid serta lagu dakwah di negara ini.

"Ia adalah penganjuran ketiga. Sebelum ini pada 2004 dan 2005 ia mendapat sambutan amat menggalakkan.

"Kini, menerusi penjenamaan baru dengan kerjasama pihak penaja, saya mengharapkan penganjuran Anugerah Nasyid IKIM FM 2014 akan berjalan lancar," katanya.

Mohd Erwan berkata, rating pendengar untuk Carta IKIM FM juga memberangsangkan sejak 2013 lagi.

Terdahulu, sebanyak 30 lagu dipilih pada peringkat awal saringan untuk sepanjang setahun setengah program Carta IKIM FM bersiaran.

Sebagai acara kemuncak kepada program Carta IKIM FM, Anugerah Nasyid IKIM FM 2014 menyaksikan persaingan tiga kategori utama iaitu Anugerah Lagu Paling Banyak Muncul Juara Carta, Lagu Paling Lama Bertahan dan Artis Baru Terbaik.

Bakal dihoskan Amin Idris dan Heliza Helmi, pendengar turut diberi peluang memilih pemenang untuk kategori Lagu Pilihan Pendengar, Artis Solo Pilihan Pendengar dan Duo Berkumpulan Pilihan Pendengar.

Apa Kata Calon Finalis:

* Dakmie (Tangis Sebatang Tamar)

"Saya bersyukur dengan pencalonan lagu ini yang mara hingga ke final Anugerah Nasyid IKIM FM 2014. Terima kasih kepada semua pendengar di atas sokongan diberi.

"Saya juga melihat persaingan ini dari sudut positif memandangkan bukan penyanyi lagu nasyid pun turut bertanding. Ia menunjukkan betapa lagu-lagu ketuhanan dan kerohanian semakin diminati," katanya.

* Du'fa feat Ustaz Amal, Alkautsar, Anas Tahir & Azfar (Rindu Ini)

"Saya gembira melihat perkembangan industri lagu nasyid di negara ini yang sudah pulih dan begitu menjadi perhatian pendengar.

"Sebagai orang lama yang membabitkan diri dalam penghasilan dan rakaman lagu nasyid atau berunsur ketuhanan ini, sebenarnya lagu-lagu nasyid dan dakwah tidak pernah sepi.

"Apapun, kini lagu-lagu nasyid dihasilnya bervariasi serta paling saya gembira apabila penyanyi terkenal dengan genre lagu seperti pop dan balada pun muncul dengan karya kerohanian," kata Ustaz Amal.

Senarai 10 Finalis Anugerah NasyidIKIM FM 2014

* Al Haq... Yang Satu (Mawi & Datuk AC Mizal)

* Dalam Sujud Cintaku (Halim Ahmad)

* Iman & Aman (Inteam)

* Jodoh Berdua (Hafiz Hamidun)

* Kasih Padamu (Hafiz Hamidun)

* Maafkan Aku (NowSeeHeart)

* Rindu Ini (Du'fa feat Ustaz Amal, Alkautsar, Anas Tahir & Azfar)

* Seiring Sehaluan (UNIC)

* Tangis Sebatang Tamar (Dakmie)

* Ucaplah Alhamdulillah (Amirul Haswendy)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 5:01 AM