CHE Ta mahu fokus besarkan anak.
CHE Ta mahu fokus besarkan anak.
Syanty Octavia Amry

Bahagia melihat si kecil Aaisyah Dhia Rana membesar depan mata, pelakon Rozita Che Wan (Che Ta) akui belum bersedia menambah bilangan cahaya mata. Baginya, biarpun Aaisyah kini sudah berusia dua tahun dia mahu terus memberikan tumpuan terhadap anak perempuan tunggalnya itu.

Walaupun sedar suaminya yang juga pelakon, Zain Saidin sering memujuk untuk hamil lagi dia berasakan sekarang bukan masa yang sesuai.

“Nanti dululah, rasanya sekarang belum masa untuk hamil lagi. Bukannya saya tidak mahu tetapi biarlah Aaisyah besar dulu. Lagipun, usia saya bukan muda untuk hamil sekali lagi.

“Sekarang saya mahu fokus kepada anak terutama Aaisyah. Walaupun baru berusia dua tahun, dia tidak seperti kanak-kanak lain yang suka dengan permainan,” katanya.

Sementara itu, Zain pula akan terus memujuk Che Ta untuk memberinya seorang anak lagi.

“Saya masih dalam proses memujuk Che Ta, insya-Allah hujung Februari ini kami akan mengerjakan ibadah umrah bertiga dengan Aaisyah dan di sana nanti saya akan berdoa semoga Che Ta lembut hati. Semoga Allah SWT makbulkan doa saya,” katanya.

Sementara itu, kata Che Ta, Aaisyah semakin menunjukkan minat terhadap barang mekap, beg tangan dan pakaian.

“Mungkin kerana sejak kecil dia sering terdedah dengan suasana itu menyebabkan dia suka apa yang saya lakukan. Biasanya apabila saya mahu disolek, dia akan minta jurusolek mekap mukanya terlebih dulu dan kerana tidak mahu dia merengek saya terpaksa membiarkan keadaan itu.

“Sepupu sebayanya pula kebanyakan lelaki menyebabkan dia semakin cenderung dengan fesyen. Pastinya sebagai orang tua saya bimbang dengan keadaan itu kerana ia boleh mengganggu perkembangannya,” katanya.

Che Ta berkata, disebabkan bimbang, dia kini mengambil seorang guru untuk mengajar Aaisyah di rumah bagi melihat perkembangannya supaya sama dengan kanak-kanak lain.

“Setiap kali cikgu datang ke rumah dia akan melakukan pelbagai aktiviti dengan Aaisyah. Saya juga akan terbabit sama jika tidak sibuk. Malah sekali-sekala Aaisyah akan dibawa berjalan-jalan seperti ke zoo untuk mengenali haiwan.

“Saya akan ikut tetapi hanya memerhati dari jauh untuk melihat reaksi Aaisyah terhadap apa yang dia lihat dan lakukan,” katanya.

Selain Aaisyah, dua lagi anak Che Ta ialah Ammar Affendy, 21, dan Aniq Ezzra, 19, hasil perkahwinan pertamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 5:09 AM