WENGER

London: Pengurus Arsenal Arsene Wenger kehilangan kata-kata untuk menerangkan mengapa anak buahnya beraksi longlai terutama di babak pertama yang menyaksikan mereka tewas 1-2 di tangan Watford di Stadium Emirates.

Anak buahnya hanya mencipta tiga peluang sepanjang 45 minit pertama dan membenarkan Watford mendahului dua gol sekali gus merencatkan peluang untuk mencabar gelaran Liga Perdana musim ini.

“Aksi babak pertama memang buruk terutamanya sepanjang 20 minit pertama. Kami ditewaskan dalam semua perebutan dan Watford lebih tajam berbanding kami,” kata Wenger.

“Adakah kami terfikir bahawa kami perlu bangkit? Saya tidak tahu. Secara jujur, kami memang bersedia untuk perlawanan. Lihat saja tahap persediaan kami. Saya tidak perlu menyesal.

“Kami sedar Watford mengamalkan corak permainan keras dan kami juga sudah bersedia untuk itu.

“Anda tidak akan mampu memperoleh 47 mata selepas 23 perlawanan Liga Perdana jika anda tidak mempunyai kekuatan fizikal tapi anda perlu sentiasa mengubahnya jika anda bermain di liga ini.

“Kami tidak bermula seperti yang dikehendaki tapi pada babak kedua kami menguasai perlawanan. Untuk lebih adil, kami tidak sepatutnya tewas perlawanan ini.

“Cubaan kami terkena palang dan (penjaga gol Watford Heurelho) Gomes turut menyelamatkan keadaan. Justeru, jika anda lihat kepada statistik serta peluang yang kami cipta, kami tidak sepatutnya tewas.

“Kami juga tidak bernasib baik kerana terlepas jaringan pertama lawan yang dihasilkan menerusi sepakan percuma dan begitu juga gol kedua.”

Rembatan Younes Kaboul terkena salah seorang pemain sebelum menerjah gawang dan ia menghadiahkan gol pertama Watford pada minit ke-10 sebelum menambah satu lagi gol menerusi Troy Deeney tiga minit kemudian.

Arsenal yang membalas menerusi Alex Iwobi akan bertandang ke Chelsea Sabtu ini dan Wenger tegas menyatakan anak buahnya tidak akan terjejas dengan keputusan perlawanan menentang Watford. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 6:13 AM