BRADY (dua dari kanan) pecah rekod perpindahan Norwich.
AFP

London: Burnley memecah rekod perpindahan kelab apabila membeli pemain sayap Norwich Robbie Brady dengan nilai £13 juta (RM72.4 juta) manakala usaha Southampton untuk membawa masuk penyerang Napoli Manolo Gabbiadini menjadi antara tajuk hangat pada hari terakhir perpindahan pemain.

Bintang Republik Ireland Brady bersetuju untuk menandatangani kontrak tiga setengah tahun dan menjadi pemain kedua yang dibeli Burnley selepas pemain tengah Aston Villa Ashley Westwood dengan berharga £5 juta (RM27.8 juta).

Westwood, 26, menandatangani kontrak tiga setengah tahun dengan pilihan untuk lanjutan kontrak setahun.

Ketika kebanyakan kelab Liga Perdana sibuk dengan aksi genting awal pagi semalam, proses perpindahan tidak sibuk seperti tahun kebelakangan.

Pengurus Southampton Claude Puel berusaha mengukuhkan jentera serangan kelab yang bakal beraksi di final Piala Liga itu dengan membawa masuk pemain antarabangsa Itali Gabbiadini.

Pemain berusia 25 tahun itu yang sudah enam kali mewakili negaranya dipercayai bernilai £14 juta (RM77.9 juta).

“Saya amat gembira. Sejak kanak-kanak, salah satu impian saya adalah bermain di salah satu kelab terbesar dunia dan kini ia sudah menjadi kenyataan. Saya tidak sabar untuk turun beraksi,” kata Gabbiadini.

Pengarah bola sepak Saints Les Reed menegaskan: “Manolo pasti menjadi tenaga tambahan buat jentera depan kami apatah lagi kami akan mengharungi satu aksi final dalam masa terdekat.

“Kami berusaha keras untuk membawa masuk pemain itu.”

Sebelum itu, Southampton mengesahkan peminjaman penjaga gol Mouez Hassen dari Nice hingga hujung musim ini.

Pemain berusia 21 tahun itu akan kembali bermain di bawah kendalian bekas pengurusnya Puel dan akan menjadi pengganti kepada penjaga gol utama Fraser Forster ketika seorang lagi penjaga gawang Alex McCarthy cedera.

Juara bertahan Leicester pula meminjam pertahanan Mali Molla Wague hingga hujung musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 6:22 AM