GAMBAR yang dirakam 18 Januari lalu menunjukkan mayat seorang suspek dadah terbujur di jalan raya selepas sekumpulan lelaki tidak dikenali menembaknya.  - AFP
GAMBAR yang dirakam 18 Januari lalu menunjukkan mayat seorang suspek dadah terbujur di jalan raya selepas sekumpulan lelaki tidak dikenali menembaknya. - AFP
Agensi

Manila: Setiausaha Kehakiman Filipina semalam menolak tuduhan bahawa polis melakukan jenayah kemanusiaan apabila membunuh ribuan suspek dadah.

Dia sebaliknya berkata, penjenayah bukan manusia.

Vitaliano Aguirre berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan Amnesty Inrtenational pagi semalam yang menuduh polis membunuh orang yang tidak boleh membela diri atau mengupah orang lain sebagai sebahagian daripada perang dadah Presiden Rodrigo Duterte dan menyifatkannya sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.

“Penjenayah, peniaga dadah, pengedar dadah - mereka bukan manusia. Tidak ada jenayah terhadap kemanusiaan dilakukan jika mereka dibunuh.

“Dengan kata lain, mana ada jenayah kemanusiaan jika perang itu hanya menyasarkan peniaga, penagih dan pengedar dadah,” kata Aguirre.

Dalam laporannya, selain menuduh polis menembak mangsa yang tidak boleh membela diri, kumpulan hak asasi manusia itu juga berkata, polis memalsukan bukti, mengupah pembunuh untuk membunuh penagih dadah dan merompak mangsa mereka atau keluarga mangsa.

Ia juga mendakwa polis dibayar oleh pegawai atasan mereka untuk membunuh dan mendakwa, antara mangsa ialah kanak-kanak berusia lapan tahun.

“Polis bertindak seperti kongsi gelap. Mereka sepatutnya menguatkuasakan undang-undang terhadap kumpulan itu,” menurut laporan berkenaan.

Polis melaporkan, mereka membunuh 2,555 suspek dadah sejak Duterte menjadi presiden tujuh bulan lalu sementara punca 4,000 lagi kematian masih belum diketahui.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 6:34 AM