Ravi Chandran (kiri) menunjukkan dadah jenis heroin seberat 1.4 kilogram pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak. FOTO Effendy Rashid
Ravi Chandran (kiri) menunjukkan dadah jenis heroin seberat 1.4 kilogram pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak. FOTO Effendy Rashid
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Polis mencadangkan supaya pesalah dadah yang memiliki atau mengedar secara kecilan tidak dibenarkan ikat jamin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak Asisten Komisioner V R Ravi Chandran berkata, polis mencadangkan agar Seksyen 41 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dilaksanakan bagi membendung pesalah dadah daripada terus melakukan jenayah sama walaupun sudah diberkas polis.

Menurutnya, selama ini pesalah dadah yang memiliki atau mengedar secara kecilan dibenarkan jamin selepas ditangkap dan didakwa di mahkamah.

"Kebanyakan pesalah tidak serik dan kembali menjalankan aktiviti pengedaran selepas membayar wang jaminan sementara menunggu perbicaraan.

"Ini menyebabkan masyarakat berasa bimbang apabila 'tokan' kecilan ini berani mengedar terutama di kawasan perumahan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ravi Chandran berkata, cadangan itu sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada Disember lalu dan pihak berkenaan mengarahkan supaya berbincang dengan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi melaksanakannya.

"Perbincangan sedang dijalankan dan kami harap ia dapat dilaksanakan dalam tahun ini demi menjamin kesejahteraan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 11:33 AM