ONG (dua dari kiri) dan Noorul Ashikin (dua dari kanan) memeterai perjanjian kerjasama.
ONG (dua dari kiri) dan Noorul Ashikin (dua dari kanan) memeterai perjanjian kerjasama.
Suliati Asri


Dalam usaha meningkatkan pengunjung ke Selangor, Tourism Selangor Sdn Bhd (TSSB) dan Fireflyz.com memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Fireflyz.com sempena pelancaran pesawat Firefly bertemakan #DiscoverSelangor Tourism Selangor.

Kerjasama yang ditandatangani di Lapangan Terbang Subang Skypark itu antara usaha untuk meningkatkan ketibaan pelancong terutama dari Singapura ke Selangor selain mempromosikan kempen Tourism Selangor 2017 iaitu ‘Discover Selangor, Heart of Malaysia.’

Tourism Selangor akan bekerjasama dengan Fireflyz.com untuk menambah bilangan penerbangan dari Singapura ke Selangor bagi menjadikan Selangor destinasi utama ASEAN Tourism Forum 2018.

Menerusi kerjasama ini juga, ia diharap dapat meningkatkan jualan pakej pelancongan terutama ke Selangor dalam kedua-dua pasaran domestik serta antarabangsa sekali gus menjadikan Selangor destinasi utama ASEAN Tourism Forum 2018.

Salah satu inisiatif utama kerjasama ini adalah pesawat Firefly dibalut dengan iklan Tourism Selangor yang memaparkan beberapa tarikan utama Selangor.

Bahagian dalam pesawat itu juga memaparkan pelbagai maklumat berkenaan destinasi pelancongan yang popular di negeri itu.

Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam mempromosikan pakej pelancongan dari lawatan satu hingga lima hari termasuk membeli-belah, kebudayaan dan inap desa, ekotourism dan alam semula jadi dan aktiviti sukan lasak.

Terdapat juga promosi istimewa sepanjang tahun ini mengikut pelan pemasaran Firefly menawarkan harga khas untuk pakej pelancongan melalui agensi serta syarikat korporat yang ingin merancang siri lawatan ke Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Firefly Ignatius Ong, berkata sebagai seratus peratus syarikat penerbangan Malaysia, pihaknya sangat berbangga pesawatnya dihiasi dengan warna indah negara.

“Inilah masa terbaik untuk meneroka dan menyerlahkan apa yang kita ada untuk ditawarkan lebih-lebih lagi Skypark terletak di Selangor dan penumpang akan mendarat di sini.

“Kita juga sentiasa membantu memenuhi agenda kerajaan untuk merangsang pertumbuhan pelancongan dalam kaedah yang lebih berkesan dan inovatif,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Tourism Selangor Noorul Ashikin Mohd Din berkata, pelancaran kempen bertemakan ‘Discover Selangor, Heart of Malaysia’ ini berikutan kejayaan tahun Melawat Selangor 2015 dengan slogan yang sama ‘Discover Selangor’ tetapi dengan tambahan ‘Heart of Malaysia’ untuk melengkapkan inti pati sebenar Selangor.

“Kerjasama ini juga diharap berjalan dengan lancar dan berjaya menaikkan Selangor sebagai destinasi terbaik di rantau ASEAN pada ASEAN Tourism Forum 2018”, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 11:33 AM