PERIGI bersejarah antara tarikan.
PEMANDANGAN mempesona matahari terbenam di Pantai Minyak Beku.
myMetro

Pemandangan matahari terbenam yang disajikan sememangnya cukup mengagumkan. Angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup lembut juga bagaikan membelai pengunjung.

Memancing, bersantai dan beriadah bersama keluarga antara aktiviti menarik menanti pengunjung ke Pantai Minyak Beku di Batu Pahat, Johor ini.

Selain itu, Pantai Minyak Beku punya cerita tersendiri yang sememangnya menggamit pengunjung.

Pantai Minyak Beku ini adalah titik permulaan sejarah Batu Pahat yang mendapat namanya daripada peristiwa memahat perigi untuk mendapatkan air tawar oleh tentera Siam pada zaman dulu.

Perigi berkenaan terletak di tepi Pantai Minyak Beku dan secara tidak langsung menjadi salah satu tarikan pelancongan.

Pada masa sama, lokasi ini turut memahat sejarah tersendiri apabila turut menjadi perkampungan pertama di daerah Batu Pahat.

Menikmati keenakan makanan terkenal di daerah ini juga antara tarikan utama di pantai ini.

Malah, pantai ini terletak di Kampung Minyak Beku dengan jarak lapan kilometer dari bandar Penggaram dan kira-kira 10 minit pemanduan dari pusat bandar Batu Pahat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 11:35 AM