Kapal MT Hua Xiang 801 yang berlabuh di kawasan larangan di perairan Pengerang, semalam. FOTO ihsan APMM


Kota Tinggi: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menahan kapal tangkapan ikan profesional dari China di perairan Pengerang, 3 petang semalam.

Pengarah Maritim Daerah Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud berkata, dalam kejadian itu bot ronda Maritim Malaysia melakukan rondaan sebelum menemui kapal itu bersauh di kedudukan kira-kira 2.8 batu nautika selatan dari Tanjung Setapa.

"Anggota dan pegawai melakukan pemeriksaan dan mendapati mereka melakukan kesalahan kerana berlabuh di tempat larangan bersauh.

"Kapal MT Hua Xiang 801 itu didaftarkan di Zhua Shan, China, membawa 12 anak kapal semuanya warga negara China berusia 23 hingga 53 tahun.

"Kapten dan ketua jurutera dibawa ke pejabat Maritim Malaysia Tanjung Sedili bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 491B (1) (L) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) iaitu

berlabuh di kawasan larangan bersauh di perairan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini..

Jika sabit kesalahan, katanya, boleh didenda RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 12:59 PM