Loo Chin Hong,56, maut tersepit dalam mesin acuan. FOTO ihsan pembaca
Shamsul Munir Safini


Prai: Lelaki maut selepas terjatuh dan tersepit di dalam mesin membuat acuan di kilang di sini, 1.25 tengah hari semalam.

Mangsa, Loo Chin Hong,56, meninggal dunia akibat parah di bahagian bawah badannya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, sebelum kejadian mangsa sedang membaiki salah satu peralatan yang rosak di situ.

Beliau berkata, ketika mangsa berdiri di kawasan 'rest bar' di situ, mangsa terjatuh ke dalam mesin acuan yang sedang beroperasi.

"Mangsa menjerit meminta pertolongan dan tidak sedarkan diri sebelum dibantu rakannya.

"Kaki mangsa tersepit sehingga ke paras pinggang," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian dikeluarkan daripada mesin itu dan disahkan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Seberang Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 1:40 PM