TAKOYAKI Sedap menggunakan pelbagai perisa.
TAKOYAKI Sedap menggunakan pelbagai perisa.
AZLIFAH bersama takoyaki yang akan dihantar kepada pelanggan.
AZLIFAH bersama takoyaki yang akan dihantar kepada pelanggan.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Mengambil inspirasi snek makanan Jepun berbentuk bebola diperbuat daripada tepung gandum bersadur dengan pelbagai perisa mendorong Azlifah Parman, 31, menyediakan perkhidmatan penghantaran Takoyaki Sedap ke pejabat di sekitar Lembah Klang.

Menurut Azlifah, bagi memberikan rasa cita rasa Malaysia, dia mengolah Takoyaki Sedap dengan gabungan kuah, isi ketulan ayam, udang, sotong dan ayam lada hitam bersama serbuk tempura, jeruk halia dan daun bawang. Istimewanya, penggemar juga boleh mendapatkan Takoyaki Sedap dengan pelbagai campuran inti dalam satu hidangan.

Strategi pemasarannya menggunakan medium Facebook dan Instagram membolehkan Takoyaki Sedap mencapai sasaran pelanggan sekitar usia 21 hingga 40 tahun. Kini, makanan istimewa dari Jepun yang dipopularkan di bawah jenama Takoyaki Sedap mula mendapat tempat di hati penggemarnya di sekitar Lembah Klang.

Menurut sejarah, takoyaki asalnya popular di Kansai, Jepun dan kemudian merebak ke Kanto. Takoyaki dikaitkan dengan gerai makanan tepi jalan tetapi kini semakin banyak restoran khas takoyaki, kedai komersial seperti pasar raya dan kedai serbaneka 24 jam menjual takoyakidi Jepun.

Yaki berasal daripada perkataan yaku iaitu salah satu kaedah masakan dalam hidangan Jepun. Ia membawa maksud menggoreng atau memanggang. Ia juga boleh ditemui pada nama beberapa masakan Jepun yang lain seperti teppanyaki, yakitori dan sukiyaki.

"Di Jepun, takoyaki mula dipopularkan di Osaka oleh peniaga gerai bernama Tomekichi Endo pada 1935. Masakan ini inspirasikan daripada akashiyaki, sejenis pau bulat bersaiz kecil dari bandar Akashi di wilayah Hyogo yang diperbuat daripada tepung sadur dengan telur dan sotong kurita.

"Untuk lebih lazat, ia disapu sos takoyaki seakan-akan sos worcestershine dan mayonis, lalu ditabur aonori dan parutan ikan tongkol kering (katsuobushi). Terdapat banyak variasi resipi takoyaki. Misalnya, ponzu iaitu sejenis kicap soya dengan dashi dan cuka limau, goma-dare iaitu sos bijan dan cuka ataupun dashi bercuka," katanya.

Sebagai langkah memperkenalkan Takoyaki Sedap bercita rasa Malaysia, Azlifah memberikan hidangan istimewa ini secara percuma kepada penduduk di sekitar Lembah Klang. Untuk menikmati takoyaki percuma ini, anda boleh menghantar kiriman pesanan ringkas (SMS) atau WhatsApp Mahu Takoyaki Sedap Percuma ke talian 010-2351413.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 5:03 AM
Digital NSTP Subscribe