Zachary Gross bersama anjingnya jenis pitt bull.
Doktor mendapati 80 peratus kulit kepala Marilyn Stanley, dilapah.
Agensi

Kentucky: Seorang lelaki menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun selepas mahkamah di sini, hari ini, memutuskan dia bersalah terhadap tuduhan melapah kulit kepala teman wanitanya dan kemudian membiarkan anjingnya jenis pitt bull menyerang mangsa menyebabkan telinga wanita itu putus digigit.

Cincinnati Enquirer melaporkan, dalam kejadian 14 September 2015, Zachary Gross, 31, membelasah dan memukul Marilyn Stanley, kini berusia 27 tahun, selama beberapa jam dipercayai kerana cemburu apabila lelaki lain menyiarkan gambar wanita itu dalam Facebook menunjukkan mangsa bersama anak lelakinya di satu taman permainan.

Menurut Daily Mail, dalam keterangannya kepada polis, Marilyn berkata, lelaki itu menumbuk mukanya sekurang-kurangnya enam kali dan menendang perutnya sebelum melapah kepala dan membiarkan dia diserang anjing.

Menurut Fox 19, dalam keterangan oleh polis sebelum ini, selepas membelasah wanita itu, Zachary melapah kulit kepala mangsa dengan pisau dan mengarahkan anjingnya menyerang mangsa. Anjing itu menggigit sebahagian cuping telinga wanita itu hingga putus.

Lelaki itu kemudian memasukkan kulit kepala wanita itu ke dalam beg plastik dan membuangnya di depan rumah ibu mangsa.

Dalam hujah terakhirnya kepada juri, Penolong Peguam Daerah Boone, Leanne Beck, berkata selepas menekan mangsa ke lantai dan melapah kulit kepala Marilyn, tertuduh berkata: “Kamu botak sekarang! Siapa lagi yang mahukan kamu?”

Wanita itu diterbangkan ke Pusat Perubatan Universiti Cincinnati dan doktor mendapati 80 peratus kulit kepalanya dilapah.

Pasukan perubatan juga mendapati hidung wanita itu patah dan matanya bengkak sehingga sebesar bola besbol.

Lelaki itu kini menunggu hakim menjatuhkan hukuman dalam perbicaraan akan datang selepas pasukan juri mengambil masa hampir dua jam untuk mencapai keputusan bersalah yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 7:59 PM