Dave bersama Suguna menerangkan sesuatu kepada Ben. FOTO SUDIRMAN MOHD TAHIR
Dave bersama Suguna menerangkan sesuatu kepada Ben. FOTO SUDIRMAN MOHD TAHIR
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Keadaan penyanyi Ben Nathan, 54, yang hidup sebagai gelandangan selama 24 tahun kini lebih baik selepas menjalani rawatan dan ditempatkan di wad psikatri Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, semalam.

Anak saudaranya, S Suguna, 30, gembira dengan keadaan bapa saudaranya itu yang dilihat lebih ceria dan segar hari ini.

“Saya menyangka dia akan marah apabila dibawa ke hospital, tetapi tidak. Sepanjang pertemuan kami tadi dia nampat sangat okay.

"Kami bersembang seperti biasa, malah dia turut bertanya mengenai adik-beradiknya yang lain. Saya beranggapan langkah yang diambil itu adalah betul,” katanya kepada Harian Metro.

Suguna berkata, doktor turut memaklumkan Ben juga tenang sejak dimasukkan ke hospital semalam dan tidak menunjukkan sebarang sikap negatif ketika di wad.

Menurut Suguna, laporan kesihatan Ben belum dikeluarkan dan buat masa ini dia akan ditempatkan di wad itu.

“Saya juga dimaklumkan Ben sangat tenang dan tidur dengan lena. Paling penting, dia tidak menyebut mahu keluar dari situ. Apa pun saya berharap dia boleh kembali menjalani kehidupan lebih baik selepas ini," katanya.

Suguna berkata, dia juga meminta Ben supaya memotong rambut dan mencukur janggutnya, tetapi penyanyi itu enggan melakukannya.

Ben dibawa ke HKL pagi semalam oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas dipujuk Presiden Yayasan Artis 1Malaysia, Datuk DJ Dave.

Sebelum ini, Ben pernah dipujuk supaya menjalani kehidupan normal, namun menolaknya kerana lebih suka hidup sebagai gelandangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 8:19 PM