Ketua BNN, Budi Waseso, pada sidang media rampasan dadah di pangkalan nelayan Pelabuhan Muara Angke, Jakarta, semalam.
Ketua BNN, Budi Waseso, pada sidang media rampasan dadah di pangkalan nelayan Pelabuhan Muara Angke, Jakarta, semalam.
BERNAMA

Jakarta: Seorang suspek penyeludup dadah dipercayai warga Malaysia, maut ditembak Badan Narkotika Nasional (BNN) Republik Indonesia di pangkalan nelayan di Pelabuhan Muara Angke di sini, semalam.

Menurut laporan media tempatan yang memetik Timbalan Ketua Pembanterasan BNN, Arman Depari, lelaki itu ditembak selepas cuba melarikan diri ketika organisasi berkenaan melakukan pemeriksaan terhadap satu kapal nelayan yang berlabuh di pangkalan berkenaan.

Menurutnya, ketika pemeriksaan, BNN menahan enam anak kapal namun seorang daripada mereka cuba melarikan diri menyebabkan anggota BNN melepaskan tembakan yang mengenai suspek.

Lelaki itu maut di tempat kejadian.

Arman berkata pemeriksaan dalam kapal menemui 14 bungkusan dadah jenis syabu dengan setiap bungkusan seberat satu kilogram selain sejumlah mata wang Malaysia dan Indonesia.

Katanya operasi itu berikutan maklumat mengenai sebuah kapal nelayan dari Malaysia disyaki membawa dadah menggunakan laluan perairan Sumatera untuk memasuki Teluk Jakarta tiga hari lalu.

Beliau berkata berikutan itu, BNN melancarkan operasi sebaik kapal itu tiba di Muara Karang, Jakarta Utara, pada 11 malam waktu tempatan.

BNN sedang menjalankan siasatan ke atas lima suspek warga tempatan yang ditahan dalam operasi itu bagi mengenal pasti dalang pengedaran dadah berkenaan.

Arman berkata, sindiket dadah kini menggunakan kapal nelayan bagi membawa masuk dadah ke Indonesia berbanding kapal kontena sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 10:16 PM