DJ Dave memberi semangat kepada Ben mendapatkan rawatan. FOTO SDT
DJ Dave memberi semangat kepada Ben mendapatkan rawatan. FOTO SDT
Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: Status kesihatan penyanyi Ben Nathan, 54, yang sedang dirawat dan ditempatkan di wad psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL) dijangka diketahui dalam tempoh seminggu lagi.

Perkara itu dimaklumkan Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) Datuk DJ Dave yang akan melawat keadaan Ben selewat-lewatnya Isnin depan.

Menurutnya, buat masa ini, pihak HKL tidak membenarkannya untuk melawat penyanyi terbabit kecuali keluarga terdekat sahaja.

"InsyaAllah, saya akan melawatnya pada Isnin atau Selasa depan bagi mendapatkan perkembangan lanjut berhubung keadaan Ben," katanya ketika dihubungi Harian Metro, petang tadi.

Katanya, dia dimaklumkan, laporan kesihatan Ben belum dikeluarkan dan buat masa ini dia akan ditempatkan di wad berkenaan.

"Saya juga diberitahu keadaan Ben bertambah baik sejak menjalani rawatan di HKL," katanya.

Ben dibawa ke HKL pagi semalam oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas dipujuk Presiden Yayasan Artis 1Malaysia, Datuk DJ Dave.

Terdahulu, Ben pernah dipujuk supaya menjalani kehidupan normal, namun menolaknya kerana lebih suka hidup sebagai gelandangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 11:24 PM