X
WOODS membuat pukulan di Kejohanan Klasik Dubai Desert, kelmarin.
WOODS membuat pukulan di Kejohanan Klasik Dubai Desert, kelmarin.
Reuters

Dubai: Bekas pemain nombor satu dunia Tiger Woods terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Klasik Dubai Desert gara-gara masalah belakang, kata Jelajah Eropah, semalam.

Juara kejohanan utama sebanyak 14 kali dari Amerika Syarikat itu yang kini menduduki ranking ke-666 selepas tidak beraksi untuk satu tempoh lama kerana masalah belakangnya, mencatat lima di atas 77 kelmarin sekali gus gagal mencatat sebarang birdie sepanjang 18 lubang.

Ejen Woods Mark Steinberg berkata, pemain itu mula terasa sakit di belakang badannya malam Khamis lalu dan kesal kerana terpaksa menarik diri.

“Belakang badannya terasa tegang terutama di bahagian atas pinggang selepas makan malam,” kata Steinberg. “Kami cuba untuk mengatasi masalah itu tetapi tidak berhasil.

“Kami menjalani rawatan awal pagi ini dan sesi itu berlangsung selama tiga jam setengah tetapi masalah ketegangan itu langsung tidak berubah. Dia tidak selesa dengan keadaan itu.”

Steinberg berkata, masalah itu bagaimanapun tidak sama dengan kesakitan yang memaksa Woods berehat panjang daripada arena golf dunia sebelum ini.

Tampil buat kali kelapan di Dubai di mana dia pernah muncul juara sebanyak dua kali, Woods, 41, dilihat langsung tidak berupaya mempamer aksi hebat pada penampilan pertamanya di acara Jelajah Eropah itu.

Impiannya untuk mengelak daripada gagal melepasi cut dilihat amat tipis apatah lagi Woods kelihatan bergelut untuk mencari rentak.

Selepas pusingan pertama, Woods berkata dia langsung tidak merasa sebarang kesakitan dan menamatkan hari pertama dengan ketinggalan 12 pukulan di belakang pendahulu semalaman Sergio Garcia.

Prestasi Woods turut dilihat berkarat ketika dia beraksi di acara Jelajah PGA 17 minggu lalu sebelum gagal melepasi cut di Terbuka Farmers Insurance di Torrey Pines.

Kecederaan terbaru itu juga bakal menjejaskan penyertaan Woods di kejohanan selepas ini iaitu di Terbuka Genesis yang juga acara Jelajah PGA di Kelab Golf dan Country Riviera di Pacific Palisades, California, 16 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 5:47 AM